Home / Lain - Lain / Ragbi wanita mahu kekal dalam Kejohanan Ragbi Asia Siri 7 Sebelah

Ragbi wanita mahu kekal dalam Kejohanan Ragbi Asia Siri 7 Sebelah

Julung kali pasukan ragbi wanita akan turut beraksi pada Kejohanan Ragbi Asia Siri 7 Sebelah Wanita yang akan membuka kempen musim 2019 di Incheon Korea.

Kejayaan bergelar juara Trofi Wanita Asia di Brunei tahun lalu mengangkat skuad 7 sebelah wanita ke satu tahap yang lebih tinggi dan ia pastinya mencabar.

Pada saingan trofi ragbi Asia tahun lalu Malaysia muncul juara setelah menewaskan Filipina 10-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Brunei.

Layak ke peringkat seterusnya Siri Ragbi Asia 7 Sebelah Wanita tahun ini Malaysia berpeluang untuk beraksi menentang jaguh-jaguh Asia tiga siri kejohanan bermula di Korea diikuti China pertengahan September dan Sri Langka 2 minggu berselang.

Ini bakal menjadi medan terbaik buat pasukan kebangsaan melakukan persiapan menuju ke temasya Sukan SEA di Filipina yang hanya berbaki lebih kurang tiga bulan lagi.

Tugas sukar menanti skuad kendalian Nik Safuan Ismadi Nik Man dengan Malaysia diundi dalam kumpulan C bersama juara edisi 2018 Jepun selain Sri Langka dan Hong Kong.

Namun ia satu peluang keemasan buat pasukan wanita kebangsaan untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman menuju ke Sukan SEA penghujung November nanti.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Jepun dan Sri Langka sebelum bertemu Hong Kong sehari berselang.