Home / Bola Sepak / POLEMIK AMD : BAKRI IBNI TIDAK BERSETUJU TINDAKAN MSN LETAKKAN TANDA HARGA

POLEMIK AMD : BAKRI IBNI TIDAK BERSETUJU TINDAKAN MSN LETAKKAN TANDA HARGA

Polemik tanda harga graduan Akademik Mokhtar Dahari (AMD) terus menjadi pendebatan hangat sama ada wajar atau tidak ia dikenakan terhadap setiap pasukan yang mahu mendapatkan khidmat mereka.

Rata-rata ramai yang bersetuju kerana bukan sedikit kos yang dikeluarkan kerajaan untuk menghasilkan pemain-pemain terbaik.

Bagi lagenda bola sepak tanahair Bakri Ibni yang juga bekas panel penasihat program pembangunan bola sepak negara (NFDP) yang berpendapat bahawa ia adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Ketika ada pihak yang bersetuju dengan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenakan tanda harga buat pelatih Akademik Mokhtar Dahari bermula tahun hadapan, ada juga yang berfikiran sebaliknya mengenai polemik yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Sama seperti jurulatih Selangor B.Sathianathan, Bakri Ibni juga tidak bersetuju dengan langkah MSN.

Menurutnya AMD merupakan projek kerajaan dengan misi utama melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan ia bukannya sebuah pusat yang berteraskan kepada keuntungan kewangan.

MSN menurut Bakri haruslah fokus menjadikan AMD sebagai pusat kecemerlangan sukan bola sepak yang mampu membantu negara dan perlu berbangga produk AMD mendapat tempat di kalangan pasukan elit di Malaysia.

Untuk rekod kerajaan membelanjakan RM10.8J setahun bagi mengurus serta membiayai program AMD yang berpusat di Gambang Pahang.

Sementara itu tindakan pasukan atau kelab memborong tanpa had pelatih-pelatih AMD juga dianggap oleh Bakri Ibni sebagai perkembangan yang sihat pembangunan bola sepak negara.

Pelatih telah diberi peluang berbincang untuk menyertai pasukan mana yang mereka minati malah ibubapa juga terbabit secara langsung.

Jadi tidak timbul isu pasukan yang mendapat kelebihan tertentu untuk mendapatkan pemain AMD yang dikehendaki tetapi perkara yang meresahkan Bakri adalah selama mana produk yang dihasilkan AMD berkualiti seperti graduan pertama ketika ini yang laku ibarat goreng pisang panas.

Sasaran Bakri tidak lain dan tidak bukan adalah kepada sistem kejurulatihan AMD itu sendiri.