Home / Bola Sepak / #PIALAFA2017 – Pahang dan Kedah berentap di Final

#PIALAFA2017 – Pahang dan Kedah berentap di Final

Jaewon Heo - Pahang dan Kenilso Larsen - Kedah

Jaewon Heo – Pahang dan Kenilso Larsen – Kedah

PAROI, 13 May 2017 : Pahang dan Kedah bakal berentap buat kali pertama di Final Piala FA 2017 pada 20 Mei ini di Stadium Shah Alam apabila masing-masing berjaya mengenepikan lawan mereka Negeri Sembilan dan Terengganu di peringkat separuh akhir malam tadi.

Pemain Negeri Sembilan Bruno Suzuki diasak pertahanan Pahang. Gambar oleh Arep Kulal @ SukanMalaysiaDotMY

Pemain Negeri Sembilan Bruno Suzuki diasak pertahanan Pahang. Gambar oleh Arep Kulal @ SukanMalaysiaDotMY

Di Paroi, harapan hampir 38ribu penyokong Hoben Jang Hoben yang memenuhi segenap ruang Stadium Paroi untuk menyaksikan pasukan mereka Negeri Sembilan melangkah ke final tidak kesampaian apabila Pahang dilihat lebih bertenaga dengan mengamalkan corak permainan bertahan dan menyerang.

Gol awal pemain import dari Korea, Jaewon Heo pada minit ke 6 membuatkan suasana di stadium sunyi apabila Pahang mendahului dengan agregat 2.0 . Tersentak dengan gol tersebut Negeri Sembilan mula mengatur gerak dengan serangan-serangan ke kubu pasukan Pahang namun penjaga gol Pahang Wan Muhammad Azraie Wan Teh tangkas mengawal gawang gol nya dari dibolosi.

Separuh masa kedua memperlihatkan Negeri Sembilan terus memberi tekanan dan hasilnya pada minit ke 67 pemain import mereka Bruno Suzuki berjaya merembat masuk bola hantaran Lee Andrew Tuck. Gol tersebut membawa semangat kepada pemain-pemain tuan rumah dan asakan demi asakan dilakukan ke arah pintu gol Pahang.

Pemain Pahang Matheus Alves Leandro diasak pemain Negeri Sembilan. Gambar oleh Arep Kulal/SukanMalaysiaDotMY

Pemain Pahang Matheus Alves Leandro diasak pemain Negeri Sembilan. Gambar oleh Arep Kulal/SukanMalaysiaDotMY

Memerlukan 2 gol bagi melangkah ke perlawanan akhir, Negeri Sembilan alpa ketika menyerang, akibatnya Christie Jayaseelan menghukum kealpaan benteng pertahanan Negeri Sembilan dengan gol kedua pahang pada minit minit akhir perlawanan untuk mengesahkan langkah Pahang ke perlawanan akhir dengan agregat 3-1.

Sementara itu di Kuala Terengganu, Kedah melangkah ke pentas final apabila berjaya menundukkan pasukan Terengganu 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Babak pertama perlawanan, menyaksikan pasukan Kedah bermain dengan corak yang agresif dengan terus menyerang ke arah pintu gol pasukan Terengganu. Hasilnya pada minit ke 4 hasil kelam kabut dihadapan pintu gol Terengganu Liridon Krasniqi berjaya menyambar bola untuk gol pertama Kedah. Kedah terus melancarkan gerakan demi gerakan selepas itu dan pada minit ke 28, Ken Ilso Larsen berjaya menambah derita tuan rumah selepas memperdayakan dua pertahanan Terengganu sebelum melepaskan sepakan untuk gol kedua.

Pemain Kedah Kenilso Larsen diasak pertahanan Terengganu. Gambar oleh Khairil Ajhar/SukanMalaysiaDotMY

Pemain Kedah Kenilso Larsen diasak pertahanan Terengganu. Gambar oleh Khairil Ajhar/SukanMalaysiaDotMY

Bersambung babak kedua, Terengganu cuba merubah permainan dengan serangan awal pada kawasan Kedah, namun hasil serangan balas pantas, Sandro Mendonca menambah jaringan buat Kedah pada minit ke 47 menjadikan kedudukan 3-0.

Terengganu yang melakukan tiga pertukaran bagaimanapun terpaksa akur dengan kekentalan benteng pertahanan Kedah dan berputih mata selepas tumpas 0-3 seterusnya gagal mara ke final untuk mengulangi pencapaian tahun 2011.