Home / Bola Sepak / Piala Sultan Selangor pulang ke gagang !

Piala Sultan Selangor pulang ke gagang !

Pemain pilihan Selangor bergambar dengan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan pasukan pilihan Singapura malam tadi. Gambar oleh Hizami Roslan

SHAH ALAM 26 August 2018 : Piala Sultan Selangor kembali pulang ke gagang apabila pasukan Pilihan Selangor berjaya menundukkan Pilihan Singapura 5-3 menerusi penentuan penalti di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Mengembalikan semula kegemilangan zaman kedua-dua pasukan dalam era Liga Malaysia satu masu dulu, perlawanan yang dihadiri lebih 50,000 penyokong pasukan merah kuning dan Singapura dilancarkan dalam suasana penuh meriah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Dimulakan dengan pertunjukkan laser dan bunga api kedua-dua pasukan mempamirkan permainan pantas sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan.

Aksi pemain pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura dalam perlawanan Piala Sultan Selangor. Gambar oleh Arep Kulal

Singapura menenggelamkan seketika sorakan penonton Selangor apabila membuka jaringan seawal minit kelapan hasil percubaan jarak dekat Shuhei Hoshino selepas pertahanan Selangor gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti.

Bagaimanapun, jaringan itu hanya bertahan enam minit apabila Rufino Segovia menyamakan kedudukan buat Selangor dan keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal untuk mendapatkan sebarang gol. Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit permainan.

Pemain kelahiran Singapura, Faris Ramli muncul wira Red Giants apabila menyempurnakan sepakan terakhir selepas Mohd Irfan Najeed gagal menyudahkan sepakan ketiga Singapura.

Singapura menjuarai dua edisi terakhir dengan keputusan 4-3 (penentuan sepakan penalti) dan 3-2 di Stadium Nasional, tahun lalu.

Edisi Piala Sultan Selangor tahun ini dianggap yang paling manis buat kem Selangor apabila pasukan Veteran Selangor dan pasukan bawah 16tahun Selangor juga berjaya menewaskan pasukan Singapura dalam perlawanan sebelum itu.

Pasukan Veteran Selangor bergambar bersama trofi kemenangan selepas menewaskan pasukan Veteran Singapura. Gambar oleh Arep Kulal

Menampilkan lagenda bolasepak tanahair, Datuk Soh Chin Aun sebagai ketua pasukan, pasukan veteran Selangor turun dengan pemain lagenda zaman kegemilangannya seperti Zainal Abidin Hassan, Karim Pin, Mubin Mokthar, Azlisham Ibrahim dan Nazzab Hidzan untuk menentang pasukan Veteran Singapura yang diketuai oleh lagenda mereka Fandi Ahmad dan Malek Awab.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 hasil jaringan pemain veteran Selangor, Karim Pin pada minit ke-15 sebelum Singapura menyamakan kedudukan menerusi Steven Tan, 12 minit kemudian.

Pada penentuan sepakan penalti, Nazzab Hidzan meledak gol kemenangan veteran Selangor selepas Steven Tan gagal menyempurnakan sepakan penalti kedua veteran Singapura.

Terdahulu, skuad bawah 16 (B-16) Selangor merangkul Piala Cabaran Sekolah Selangor-Singapura selepas menumpaskan skuad B-16 Singapura 2-0.