Home / Hoki / PIALA RAZAK BAKAL MENJADI PENTAS PEMILIHAN SEMULA PEMAIN

PIALA RAZAK BAKAL MENJADI PENTAS PEMILIHAN SEMULA PEMAIN

Dengan kemasukan Arul Selvaraj selaku ketua jurulatih baharu kemungkinan akan berlakunya rombakan pemain-pemain kebangsaan.

Pentas Piala Razak yang berlangsung September nanti bakal menjadi medan buat Arul dan barisan kejurulatihan membuat penilaian semula sebelum senarai baharu pemain diumumkan.

Sekaligus ia peluang buat pemain-pemain yang tercicir sebelum ini untuk kembali menyarung jersi kebangsaan.

Menurut jurulatih sementara Mohd Amin Rahim sesi latihan skuad kebangsaan tetap berjalan seperti biasa dan masih mengikut program yang telah ditinggalkan oleh Roeland Olthmans sebelum ini.

Namun komunikasi berterusan bersama ketua jurulatih Arul Selvaraj yang kini menjalani kuarantin 14 hari sebaik kembali dari Dublin, Ireland sudah pun bermula walaupun peranannya hanya akan berkuatkuasa bermula Sabtu.

Antara yang menjadi perbincangan termasuklah proses pemilihan semua pemain-pemain yang akan dilaksanakan pada kempen Piala Razak nanti.

Dalam pada itu suasana lebih harmoni jelas kelihatan sepanjang sesi latihan kendalian Amin. Rata-rata pemain lebih terbuka dalam menyuarakan pandangan dan masing-masing jelas tidak kekok dalam mengekpresikan diri.

Cuma kini mereka cuma perlu mempamerkan kemampuan mereka memandangkan akan ada sesi pemilihan semula yang akan dilakukan barisan kejurulatihan pada pemilihan Piala Razak nanti.

Saingan Piala Razak akan menjadi kejohanan pertama sukan hoki ekoran penularan pandemik Covid-19 yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 26 September dengan kesemua perlawanan akan dijalankan di Stadium Hoki Bukit Jalil.