Home / Golf / #PGMTOUR – Sasaran 60 terbaik Jelajah Asia untuk ke Tokyo2020

#PGMTOUR – Sasaran 60 terbaik Jelajah Asia untuk ke Tokyo2020

Tun Ahmad Sarji (tengah), menjawab soalan media dalam majlis penerimaan cek dari MNRB untuk Kejohanan golf MNRB Sarawak di Kuching. Gambar oleh Arep Kulal / PGM Tour

Tun Ahmad Sarji (tengah), menjawab soalan media dalam majlis penerimaan cek dari MNRB untuk Kejohanan golf MNRB Sarawak di Kuching. Gambar oleh Arep Kulal / PGM Tour

KUCHING, 25 Ogos 2016 : Professional Golf Malaysia (PGM) merancang lebih awal dalam memastikan kesemua pemain-pemain golf negara mendapat peluang sama rata untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, apabila meletakkan sasaran untuk melihat sekurang-kurangnya 2 orang pemain Malaysia akan sentiasa berada di kalangan 60 pemain terbaik asia di dalam Jelajah Asia setiap tahun mulai tahun 2017.

Pengerusi PGM, YBhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid ketika ditanya dalam sidang media sempena penyerahan cek tajaan bernilai RM300,000 dari MNRB untuk Kejohanan Golf PGM MNRB Sarawak pada Sabtu lalu berkata, PGM akan memastikan jadual Jelajah PGM mulai tahun 2017 lebih tersusun dengan fokus lebih diberikan untuk menganjurkan kejohanan yang boleh memberi kelebihan kepada pemain Malaysia dan pungutan mata untuk rangking dunia.

“Anda boleh katakan atau buat “Road to Olimpik” atau “Road to Tokyo2020″ namun apa yang lebih penting adalah memastikan adanya pemain negara berada di dalam kelompok 60 pemain terbaik di dalam Jelajah Asia mulai tahun 2017 bagi menjamin tempat mereka ke Olimpik di Tokyo. Itu sasaran utama PGM dalam memastikan pemain-pemain dari Malaysia mampu bersaing terlebih dahulu di peringkat Asia” – ujar Tun Ahmad Sarji.

Menyedari peranan dan sokongan dari syarikat-syarikat kolongmerat amat diperlukan bagi memastikan program dan jadual kejohanan dapat dirancang, Tun Ahmad Sarji yakin, penaja-penaja yang selama ini menaja dan menyokong Jelajah PGM kini boleh berbangga dengan sumbangan yang diberi apabila 4 orang pemain golf negara mampu bermain di pentas Olimpik.

“Kita mendapat tajaan dari UMW Malaysia sebanyak RM1.7 juta untuk program “Road to Olimpik2016” dan PGM membelanjakan RM1juta untuk projek yang sama. Jika dibandingkan dengan sukan-sukan lain, kita boleh berbangga kerana kita hanya membelanjakan RM2.7juta untuk menghantar 4 orang atlit sedangkan statistik menunjukkan sebanyak RM5juta diperlukan untuk menghantar seorang atlit ke Olimpik. Dengan ketelusan dan pengurusan kewangan yang baik oleh PGM, kita yakin penaja-penaja kini sedar pulangan pelaburan mereka dan keperluan sumbangan mereka demi pembangunan dan kejayaan sukan ini. “

“Kita mempunyai masa yang amat terhad apabila melakukan “Road to Rio2016″ yang lalu. Jadual terlalu padat namun program kita menepati sasaran yang ditetapkan. Saya yakin dengan sokongan syarikat-syarikat kolongmerat di Malaysia, program-program yang lebih baik mampu di rancang”.

Tun Ahmad Sarji menyaksikan majlis penyerahan cek bernilai RM300'000 oleh MNRB Holdings Berhad kepada PGM Sdn Bhd untuk Kejohanan Golf PGM MNRB Sarawak. Gambar oleh Arep Kulal / PGM Tour

Tun Ahmad Sarji menyaksikan majlis penyerahan cek bernilai RM300’000 oleh MNRB Holdings Berhad kepada PGM Sdn Bhd untuk Kejohanan Golf PGM MNRB Sarawak. Gambar oleh Arep Kulal / PGM Tour

Mengulas mengenai prestati skuad golf Malaysia ke Olimpik di Rio, Tun Ahmad Sarji ternyata berpuashati dengan pencapaian atlit negara namun yakin dengan persiapan yang lebih baik mulai 2017, pemain golf Malaysia akan mampu bersaing dengan lebih baik di Tokyo.

Di majlis yang sama, MNRB Holdings Berhad menyerahkan cek bernilai RM300’000 kepada Professional Golf Malaysia (PGM) untuk Kejohanan Golf MNRB Sarawak. Ini adalah tahun keempat MNRB Holdings Berhad menaja Kejohanan Golf  di bawah kalendar Jelajah PGM dan dianjurkan bersama Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang memberi mata ranking dunia kepada 5 pemain terbaik kejohanan.

Ditanya samaada MNRB Holdings Berhad akan terus menaja kejohanan golf Jelajah PGM pada tahun hadapan, Tun Ahmad Sarji berkata beliau amat yakin dengan corak pengurusan kewangan yang telus dan pengurusan kejohanan yang professional  oleh pengurusan PGM, ianya akan memberi impak positif kepada penaja-penaja untuk terus menaja kejohanan-kejohanan akan datang.