Home / Golf / #PGMTour – PD jadi saksi kejayaan Daeng !

#PGMTour – PD jadi saksi kejayaan Daeng !

Daeng Abdul Rahmad bergambar selepas memenangi Kejohanan Golf Tertutup PGM Port Dickson. © PGM Tour

Daeng Abdul Rahmad bergambar selepas memenangi Kejohanan Golf Tertutup PGM Port Dickson. © PGM Tour

PORT DICKSON, 01 April 2017 : Pemain golf muda negara, Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz, 17 tahun, menjadikan Kejohanan Golf Tertutup PGM Port Dickson sebagai tanda kejayaan pertama beliau muncul juara kejohanan golf sebagai seorang pemain golf professional.

Daeng, bekas pemain amateur no 1 negara, dan merupakan tonggak harapan untuk Skuad Sukan Sea 2017 akan datang, membuat kejutan pada Februari lalu apabila mengubah haluan untuk menjadi pemain golf professional selepas beraksi di Kejohanan Golf Maybank, di Kelab Golf Saujana, Subang. Ternyata keputusan menjadi pemain profesional dan menjadikan beliau gugur secara automatik dari Skuad Sukan Sea mula menampakkan tanda positif apabila beliau mampu bersaing dalam 2 kejohanan golf profesional PGM yang lalu dan seterusnya berjaya muncul juara di Port Dickson.

Aksi Daeng Abdul Rahman © PGM Tour

Aksi Daeng Abdul Rahman © PGM Tour

Bersaing dalam kumpulan terakhir dengan pemain yang lebih berpengalaman, Daeng ternyata berjaya menyerap tekanan yang diberi oleh pemain utama negara Nicholas Fung dan juara 6-kali Jelajah PGM, Ben Leong. Walaupun bermula agak perlahan di sembilan lubang pertama, Daeng ternyata tidak terkesan apabila Nicholas berjaya membenam 4 birdie di sembilan lubang pertama untuk mendahului 3-pukulan di hadapan.

Sembilan lubang kedua ternyata cukup dramatik ketika persaingan dilihat lebih terbuka diantara Daeng dan Nicholas dikala Ben Leong acapkali melakukan kesilapan demi kesilapan. Daeng mula merapatkan jurang di Lubang ke 12 apabila Nicholas melakukan bogey. Posisi pendahulu berubah-ubah di 3 lubang berikutnya namun Nicholas terus bermain cemerlang di lubang ke 15 dan 16 untuk mendahului dengan 1 pukalan. Kesilapan ‘drive’ di lubang 17 menghukum Nicholas untuk untuk melakukan catatan bogey sementara Daeng berjaya membenam birdie untuk mendahului ke lubang 18.

Nicholas Fung © PGM Tour

Nicholas Fung © PGM Tour

Mendahului di lubang 18 dengan 1 pukulan tidak menjamin kedudukan Daeng apabila Nicholas berjaya melakukan 2 pukulan ke green di Par 5 lubang 18. Namun cubaan ‘eagle’ yang dilakukan oleh Nicholas untuk mengheret perlawanan ke ‘playoff’ tidak berjaya dan sekadar berpuas hati dengan ‘birdie’ manakala Daeng menunjukkan ‘magik’ yang ada pada beliau apabila berjaya membenam birdie dari jarak 20 kaki untuk mengesahkan kejuaraan milik beliau.

Catatan 68pukulan di akhir terakhir untuk mengumpul jumlah catatan 272 pukulan, 11 dibawah par sudah cukup buat Daeng untuk berpuashati dengan permainan beliau dikala pemain-pemain golf yang lain tenggelam dengan keadaan permukaan green yang cukup mengelirukan.

“Saya amat gembira dengan kejayaan ini dan tidak menyangkakan ianya hadir terlalu awal. Namun saya menganggap ianya sebagai satu tonik untuk perjalanan profesional saya yang masih lagi jauh. Sudah tentu kejayaan ini menjadi pemangkin buat saya dan pasti sokongan dari ahli keluarga terutamanya ayah saya yang sentiasa mengiringi saya menguatkan lagi saya untuk menempuh era profesional ini” ujar Daeng Abdul Rahman.

Keputusan 5 terbaik:-

272 – Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz 69-68-67-68
273 – Nicholas Fung 67-68-70-68
277 – Wafiyuddin Abd Manaf 66-75-70-66, Amir Nazrin Jailani 67-70-71-69, Nachimuthu Ramasamy 66-72-70-69
278 – Ben Leong 69-70-68-71
279 – Tan Chien Hau 74-69-68-68, Sukree Othman 68-72-70-69

Laporan Oleh : Arep Kulal