Home / Golf / #PGAM – Mimpi Brandon jadi kenyataan di PGAM Player’s Championship

#PGAM – Mimpi Brandon jadi kenyataan di PGAM Player’s Championship

Brandon Lau bergambar selepas memenangi Kejohanan Golf PGAM Players Championship presented by Maybank di Impian Golf & Country Club. Gambar oleh Mike Casper/TheClubHouse


Kajang, SELANGOR:
 Ibarat mimpi jadi kenyataan, pemain golf professional dari Sabah, Brandon Lau merealisasikan impiannya untuk memenangi kejohanan golf professional buat kali pertama untuk dirinya apabila muncul juara Kejohanan Golf Persatuan Pemain Golf Professional Malaysia (PGAM) Player’s Championship yang dibawa oleh Maybank di Kelab Golf Impian, Kajang Selangor, kelmarin.

Ketika tumpuan lebih diberikan kepada pendahulu hari kejohanan Amir Nazrin dan Muhammad Wafiyuddin, Brandon melakukan kejutan dengan permainan cemerlang di 9-lubang kedua untuk menidakkan peluang Amir dan Wafi yang disebut-sebut sebagai pilihan kejohanan.

Brandon Lau. ©Mike Casper/TheClubHouse

Memulakan kejohanan dengan satu pukulan di belakang pendahulu, Brandon membenam ‘birdies’ di lubang 14 dan 16 sebelum berjaya melakukan ‘eagle’ di lubang 17 untuk mengesahkan kejuaraan dengan mencatatkan 280pukulan, -8 dibawah par meninggalkan Amir Nazrin Jailani and Muhd Wafiyuddin Abdul Manaf yang berkongsi di tempat kedua dengan 284pukulan dalam kejohanan yang menawarkan hadiah bernilai RM200,000.00

Terkejut dengan kejayaan pertamanya dalam karier sebagai pemain golf professional, Brandon gembira strategi permainan beliau untuk kekal focus dan tidak mempedulikan lawannya berhasil.

“Secara jujur, saya tidak tidur lena malam tadi kerana risau dengan apa yang akan berlaku pada hari ini. Pelbagai mimpi bermain dalam tidur saya, tapi saya lega apabila berjaya mengekalkan focus saya apabila memulakan permainan. Memenangi kejohanan ini sudah pasti satu mimpi indah buat saya.” ujar Bradon yang mengubah haluan menjadi pemain professional pada tahun 2015 selepas menamatkan pengajian beliau di Florida Institute of Technology di Amerika.
Berasal dari negeri yang melahirkan pemain juara Jelajah Asia seperti Nicholas Fung dan Ben Leong, Brandon berharap kemenangan di Impian sebagai titik mula perjalanan kariernya dalam sukan golf.
“Perjalanan karier saya selepas menjadi pemain golf professional pada mulanya tidak seperti yang saya impikan. Mengenali Nicholas sejak dari kecil dan melihat dimana beliau berada sekarang sudah pasti menjadi inspirasi buat saya untuk turut melakar kejayaan demi kejayaan dalam sukan ini. Ini baru permulaan dan saya akan terus berusaha untuk berjaya.” ujar Brandon yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 30,000.00
KEDUDUKAN PEMAIN DI PUSINGAN AKHIR (PAR-72)
280 – Brandon Lau 72-72-68-68
284 – Amir Nazrin Jailani 68-71-72-73, Muhd Wafiyuddin Abdul Manaf 71-73-67-73
285 – Kemarol Baharin 72-75-67-71
286 – Md Rashid Ismail 71-70-71-74
287 – Jeremiah Kim Leun Kwang 73-71-74-69, Farid Rashid 73-76-69-69, Lam Yu Shuen 72-71-74-70, Akhmal Tarmizee Nazari 74-73-68-72, Wilson Choo 71-73-70-73
288 – Shahriffuddin Ariffin 70-73-79-66
289 – Sukree Othman 72-74-74-69, Daeng Abdul Rahman Abdul Aziz 69-73-72-75