Home / Lain - Lain / PETRONAS SPRINTA-CKG RACING RAIH KEJUARAAN BERGANDA

PETRONAS SPRINTA-CKG RACING RAIH KEJUARAAN BERGANDA

Petronas Sprinta-CKG Racing membuktikan keunggulan mereka apabila membolot empat gelaran pada Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia Grand Prix yang berakhir semalam.

Pada pusingan akhir di litar antarabangsa Sepang (SIC), Petronas Sprinta CKG Racing memuktamadkan gelaran sebagai pasukan terbaik CP150, CP115 dan juara keseluruhan pelumba dalam dua kategori itu.

Kejayaan itu diraih menerusi juara kelas CP150 Ahmad Afif Amran yang mengutip 167 mata keseluruhan.

Manakala Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff merangkul mahkota kejuaraan sulungnya dalam kelas CP115 dengan 176 mata keseluruhan.

Kecemerlangan dua pelumba berpengalaman itu sekaligus membantu Petronas Sprinta Yamaha-CKG Racing muncul pasukan terbaik dengan mengungguli keseluruhan 10 saingan musim ini.

Pasukan itu turut cemerlang kategori untuk kelas CP150 dengan memungut 149 mata diikuti dengan Petronas Sprinta Maju Motor (228 mata) dan Idemitsu Honda Yuzy Racing (188 mata).

Bagi kelas CP115 pasukan itu mengutip keseluruhan 242 mata diikuti Petronas Sprinta Maju Motor (225 mata) dan Idemitsu Honda Yuzy Racing (129 mata).

Pemilik Petronas Sprinta CKG Racing Che Ku Jonaidi Che Ku Sin menganggap pencapaian itu luar biasa kerana mereka hanya mensasarkan dua gelaran juara.

Pencapaian itu turut menyamai rekod yang diraih Petronas Sprinta Maju Motor pada 2017.

Dalam pada itu pelumba Petronas Sprinta 301 Racing Alif Daniel muncul juara keseluruhan bagi kelas Wira dengan mengumpul 145 mata.