Home / Bola Sepak / Pesta Bola Merdeka: Medan ujian atau medan perjuangan sebenar

Pesta Bola Merdeka: Medan ujian atau medan perjuangan sebenar

Oleh : Al Zaem 

Medan terakhir Sebelum sukan sea

Jika sebelum ini, Datuk K. Rajagobal dilabel suka bereksperimen, kini tiba giliran jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee pula melakukan eksperimen ke atas skuadnya.
Kejohanan Pestabola Merdeka 2013 umpama medan persediaan skuad Harimau Muda A mempertahankan emas dalam temasya Sukan Sea di Myanmar penghujung tahun nanti.
Lebih menarik, kejohanan sepuluh hari ini turut disertai tiga pasukan serantau yang pastinya sedang rancak membuat persedian menjelang Sukan Sea iaitu Thailand, Myanmar dan seteru seberang tambak, Singapura.

Bagi pengendalinya, Ong Kim Swee, kejohanan ini membolehkannya melihat samaada anak buahnya dapat mempamerkan persefahaman, kerana seperti yang semua maklum, skuad ini akan turut dibarisi beberapa tonggak dari pasukan yang beraksi di Liga Malaysia.
Pemain-pemain ini bakal digabungkan dan keserasian serta kombinasi mereka bakal diuji dan hanya yang terbaik bakal membawa cabaran negara ke Myanmar nanti.
“Ini (Pestabola Merdeka)adalah ujian pemanas badan yang baik sebelum kita berdepan aksi sebenar di Myanmar nanti,” ujar Kim Swee sejurus pulang dari latihan pusat Harimau Muda di Eropah.

Para penyokong pastinya ingin melihat ‘buah tangan’ yang telah di bawa pulang oleh pemain-pemain ini sekembalinya mereka dari Eropah selepas hampir lima bulan berkelana.
Kim Swee tetap menegaskan yang objektif utama pasukannya adalah Sukan Sea kerana di situlah keberhasilan lima bulan latihan di Eropah dapat dinilai. Namun, Kim Swee masih memberi jaminan yang skuadnya akan memberi komitmen 100 peratus dalam kejohanan ini nanti sambil mengharapkan pemainnya dapat beraksi di tahap yang tertinggi.
Persiapan terkini pasukan terlibat
Singapura menghantar skuad terdiri daripada 22 pemain yang bakal diketuai oleh penjaga gawang Lions XII, Izwan Mahbud. Setelah diteliti, 12 pemain yang dibawa adalah daripada skuad Lions XII yang sedang beraksi dalam aksi Piala Malaysia 2013.
Ayeyawaddy United dan Yangon United adalah antara kelab tempatan yang menjadi ‘santapan terakhir’ skuad bawah 23 tahun Myanmar sebelum mereka mula berangkat ke Kuantan, Pahang, sabtu ini.
Sementara itu, Thailand dikhabarkan akan hanya menghantar pasukan yang terdiri daripada 16 pemain dari pasukan Divisyen Dua Liga Thailand (Zon Selatan), Nara United FC dan bukanlah skuad bawah 23 tahun mereka.  
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi dari pihak Persatuan Bolasepak Thailand mengenai perkara ini walaupun jadual perlawanan liga kelab terbabit telah diubah untuk membolehkan para pemainnya menyertai kejohanan ini.
Walaupun tidak menyertai kejohanan yang bakal bermula 7 September ini, Indonesia diberitakan menghantar wakilnya untuk ‘merisik’ kekuatan skuad Harimau Muda untuk persediaan mereka menjelang Sukan Sea nanti.
Congakkan skuad Harimau Muda A

Penjaga gol:
Tiada masalah buat Izham Tarmizi untuk menjadi pilihan utama akibat ketiadaan Farhan Abu Bakar yang tersisih akibat kecederaan.
 
Pengalaman Fadhli Shas amat ditagih Ong Kim Swee
Pertahanan:
Kim Swee dilihat akan meletakkan gandingan yang sama ketika beraksi di Sukan Universiti Dunia, Julai lalu, iaitu Shahrul Saad dan K. Rueben untuk bersama Fadhli Shas membentuk benteng pertahanan. Kehadiran Zubir Azmi bakal mengukuhkan benteng di sebelah kiri.
Selain itu, kredibiliti Nik Shahrul Azimdan Nazirul Naim juga tidak boleh dipertikai dan mungkin boleh tersenarai dalam kesebelasan utama sekiranya berjaya memikat hati Kim Swee.
 
Nazmi mampu menjadi jeneral dibahagian tengah negara
Tengah:
Di posisi tengah, kreativiti dan hantaran kemas Nazmi Faiz Mansor mungkin ditagih Kim Swee dan bakal bergandingan bersama kapten HM A, Irfan Fazail. Kim Swee juga tampak masih menguji pilihan lain seperti Junior Eldstal dari pasukan Sarawak serta gandingan Irfan di Sukan Universiti Dunia tempohari iaitu Saiful Ridzuwan.
Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor pastinya bakal digunakan sepenuhnya untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas dan kelincahannya.
Tidak dilupakan, pemain tengah serba boleh, D. Saarvindran yang beraksi cemerlang dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan (kecuali ketika tewas kepada Great Britain) di Kejohanan Universiti Dunia.
Turut perlu diberikan perhatian kehadiran penjaring lima gol untuk Negeri Sembilan setakat ini dalam aksi Piala Malaysia iaitu S. Sivanesan.
Shahrul Azwari peledak harapan negara

 


Penyerang
Bergantung pada taktikal yang akan digunakan Kim Swee, jentera serangan tampak tiada masalah kerana memiliki banyak pilihan sekiranya diperlukan. Antaranya pilihan terbaik setakat ini adalah penjaring prolifik, Rozaimi Abd Rahman selain Thamil Arasu serta Syahrul Azwari. Kim Swee bebas menggunakan satu atau dua penyerang. 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*