Home / Lain - Lain / Persatuan Sukan Orang Pekak (MSDeaf) tagih bantuan KBS

Persatuan Sukan Orang Pekak (MSDeaf) tagih bantuan KBS

Persatuan Sukan Orang Pekak (MSDeaf) berasa seakan dianaktiri selepas dipandang sepi oleh beberapa badan induk sukan negara walaupun turut berdaftar dibawah Pesuruhjaya Sukan.

Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn ketika mendedahkan perkara itu bukan sahaja melahirkan rasa kecewa, malah berkata, sehingga kini tiada pihak berminat untuk memberi dana kepada persatuan bagi membolehkan ahli-ahlinya menyertai acara-acara sukan berkenaan.

Tanpa menunding kepada mana-mana pihak MSDeaf tampil membuat rayuan terutamanya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung dana yang diperlukan bagi membolehkan Malaysia menghantar kontinjen ke Sukan Orang Pekak Asia Pasifik yang akan berlangsung di Hong Kong bermula penghujung Oktober nanti.

Ramai keliru dan menyangka MSDeaf bernaung dibawah Majlis Paralimpik Malaysia namun itu anggap yang salah berikutan MSDeaf berdiri di atas kaki sendiri dan seharusnya mendapat kesamarataan seperti yang diterima Kementerian dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Bagaimana pun ia tidak berlaku walaupun MSDeaf ada melahirkan pemain bertaraf dunia.

MSDeaf terpaksa menekan butang panik memohon bantuan daripada mana-mana pihak terutamanya KBS untuk menyalurkan dana tatkala saingan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik di Hong Kong kini berbaki dua bulan sahaja lagi.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Persatuan Sukan Orang Pekak untuk maklumat lanjut.