Home / Lain - Lain / Perak Bison juara STL 2019

Perak Bison juara STL 2019

Liga Premier Sepak Takraw (STL) 2019 menutup tirai dengan Perak Bison merampas pendahulu takhta apabila menewaskan Penang Black Panthers dengan kemenangan straight set 21-17 21-9.

Kemenangan Perak Bison keatas Penang Black Panthers sekaligus mengecewakan ATM Guardian yang akur jatuh ke tangga kedua liga dengan perbezaan set kemenangan meskipun mengumpul mata yang sama.

Beraksi di gelanggang sendiri Perak Bison menurunkan gandingan Meor Zulfikar Mat Amin, Asraaf Abd Hadi dan Amirul Ramadhan Fazillah sebelum Natthawut Naewprom mengambil alih sebagai tekong pada set kedua.

Sokongan padu di laman sendiri nyata dimanfaatkan Perak Bison untuk menafikan saingan sengit Penang Black Panthers pada set pertama dengan kemenangan 21-17.

Set kedua lebih mudah buat Bison mengecewakan lawan dengan 21-9. Trio Penang Black Panthers yang dibarisi Said Ezwan, Zulhusni Basri dan Azlan Alias nyata lesu dan hanya mampu meletakkan bekas juara itu di tempat keempat.

Selaku juara Perak Bison membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM50,000 sementara selaku naib juara ATM Guardian meraih RM30,000.

Pengurus ATM Mejar Tajuk Hisham Mamat dinobatkan sebagai pengurus terbaik manakala pengendali pasukan Aswadi Abdullah diumumkan sebagai jurulatih terbaik.

Tempat ketiga pula menjadi milik Johor Tigris dengan membawa pulang wang tunai RM20,000 selepas menewaskan Kelantan Warrior 2-0.

Dengan berakhirnya saingan itu Perak Bison, ATM Guardion, Johor Tigris, Penang Black Panthers dan Kelantan Warrior akan beraksi ke STL Champions Cup bersama pasukan jemputan dari Indonesia, Thailand, Singapura, China dan Filipina.

STL Champions Cup dijadualkan berlangsung di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, Johor bermula 22 hingga 28 Disember nanti.