Home / Hoki / PENGANJURAN LIGA HOKI REMAJA MALAYSIA 2020 DIBATALKAN

PENGANJURAN LIGA HOKI REMAJA MALAYSIA 2020 DIBATALKAN

Penganjuran Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2020 yang sepatutnya berlangsung tahun ini terpaksa dibatalkan selepas melihat kepada situasi penularan wabak Pandemik Covid-19 di Malaysia yang menunjukkan peningkatan membimbangkan.

Keputusan tersebut dibuat selepas satu perbincangan diadakan bersama Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), En. Zainal Abas, selain mengambil kira pandangan serta panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang dipengerusikan oleh, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, telah memutuskan untuk membatalkan kejohanan yang melibatkan pemain hoki berusia 19 tahun itu demi kesihatan dan kebaikan pelbagai pihak.

“Memandangkan situasi penularan wabak Pandemik Covid-19 di Malaysia semakin meningkat, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM bersama ahli jawatankuasa yang lain telah mengambil keputusan untuk membatalkan Kejohanan MJHL 2020.

“Kejohanan ini akan melibatkan rata-rata pemain hoki yang masih bersekolah jadi saya berfikir membatalkan penganjuran adalah yang terbaik untuk ketika ini demi keselamatan dan kebaikan pelbagai pihak,” jelas Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh.

KHM dalam pada itu akan terus bergerak seiring dengan saranan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia termasuk, KKM serta MKN dalam memastikan keselamatan semua pihak selain usaha untuk memutuskan penularan wabak Pandemik Covid-19 yang kini cukup membimbangkan.