Home / Lain - Lain / Peluang cerah sukan angkat berat kembali dipertandingkan di SUKMA 2020 – MOM

Peluang cerah sukan angkat berat kembali dipertandingkan di SUKMA 2020 – MOM

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Norza Zakaria jelas gembira dengan keputusan negatif doping atlet angkat berat negara yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS).

Menurut Datuk Seri Norza ia membuktikan sukan angkat berat benar-benar komited mengamalkan sukan dengan penuh integriti sekaligus menyokong angkat berat kembali dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun hadapan.

Atlet dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertindak cemerlang dalam memastikan skuad negara bebas doping. Ini terbukti apabila lima sample yang diambil dari atlet angkat berat secara mengejut oleh ADAMAS hujung Julai lalu disahkan negatif bahan terlarang.

Perkembangan itu sekaligus mencerahkan peluang sukan angkat berat untuk kembali dipertandingkan di SUKMA JOHOR 2020 selepas ia diletakkan dalam senarai menunggu sejak setahun lalu.

Mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran SUKMA 2020 pada 19 September bakal memutuskan penyertaan kembali sukan angkat berat di SUKMA 2020.