Home / Hoki / PAUL REVINGTON SERTAI KELUARGA MHC

PAUL REVINGTON SERTAI KELUARGA MHC

Simbolik penyerahan pelantikan oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal kepada Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM, Paul Revington, sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden KHM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik Norfaraha Hashim.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini dengan berbesar hati mengumumkan secara rasminya Paul Revington kembali menyertai keluarga KHM, kali ini dengan jawatan yang berbeza di mana beliau dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM.

Beliau akan bekerja rapat dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan KHM, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala dan barisan ahli jawatankuasanya yang lain selain jurulatih bagi Skuad Projek Khas KHM, Wallace Tan serta Nasihin Nubli Ibrahim akan turut bekerjasama dengannya.

“Saya membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia kerana percaya ianya satu peluang baik untuk saya memulakan semula kehidupan di Malaysia dan kembali menghabiskan beberapa perkara yang sebelum ini saya tidak dapat lunaskan ketika bersama pasukan Malaysia.

“Tugas yang akan saya pikul jelas sekali adalah untuk memupuk perkara-perkara yang penting bagi seorang pemain hoki dengan bermulanya daripada peringkat akar umbi.

“Antaranya termasuk untuk menanam mentaliti sebagai seorang pemain yang turun ke padang bukan hanya bermain hoki tetapi untuk mencari kemenanga, mentaliti untuk menang.

“Apabila tiba masanya untuk mereka menyertai pasukan kebangsaan, mereka adalah pemain yang telah mempunyai mentaliti tersebut dan tidak perlu lagi untuk diterapkan dengan perkara-perkara seperti itu,” jelas Revington.

Dalam sidang media yang berlangsung di KHM hari ini, Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal turut mengumumkan pelantikan Pengurus Pasukan Skuad Projek Khas Wanita di mana bekas Kapten Kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani, diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan tersebut.

Dato’ Sri Subahan turut percaya pelantikan Siti Amarina adalah keputusan yang tepat dengan pengalaman yang dimilikinya bersama pasukan kebangsaan pastinya dapat membantu Coach Nasihin Nubli untuk mengangkat skuad wanita ke satu tahap yang lebih baik.

Selain itu, Pengurus bagi Skuad Projek Khas Lelaki juga turut diumumkan dengan bekas pemain kebangsaan, I. Vikneswaran yang turut mempunyai pengalaman sebagai jurulatih dilantik untuk berganding bersama Coach Wallace Tan serta Megat Azrafiq Tarmizi dan pelantikan tersebut berkuatkuasa serta merta.