Home / Lain - Lain / PASUKAN BERBASIKAL TREK MALAYSIA KE BERLIN DENGAN DUA MISI BERBEZA

PASUKAN BERBASIKAL TREK MALAYSIA KE BERLIN DENGAN DUA MISI BERBEZA

Pasukan berbasikal trek negara mempunyai dua misi utama ketika turun bertanding di Kejuaraan Berbasikal Dunia di Berlin Jerman hujung bulan ini.

Pasukan negara akan menyertai tiga acara menerusi jaguh nombor satu dunia Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis.

Misi utama negara adalah untuk memburu slot tambahan ke Sukan Olimpik Tokyo dalam masa yang sama menyesuaikan diri dengan penggunaan basikal baru.

Ketika ini Malaysia menerusi Azizulhasni Awang hampir pastu beraksi dalam acara Keirin pecut di Sukan Olimpik Tokyo.

Namun usaha seterusnya adalah bagi menambah lagi slot dalam kedua-dua acara selepas setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil menerusi pengesahan kedudukan ranking Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas berakhir kejohanan dunia pada 26 Februari hingga 1 Mac.

Juara dunia Keirin itu sekali lagi berpeluang menambah pingat emas kedua dalam acara yang sama di Berlin nanti manakala ketiga-tiga wakil negara akan berentap dalam acara pecut dan hanya seorang saja yang bakal beraksi dalam acara 1km ujian masa.

Kem pasukan berbasikal negara pada masa ini sedang berkampung dibawah seliaan John Beasley di Veledrom Nasional Malaysia di Nilai sebelum terbang ke Jerman.

Sesi latihan pada ketika ini lebih terarah kepada fasa menyesuaikan diri dengan tiga pelumba Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis dengan basikal baharu yang bakal digunakan mereka dalam pertandingan buat kali pertama.

Model yang diberi nama Vortex WX-R itu masih dalam proses prototype dan dijangka dilancarkan awal Mac ini sebelum bakal digunakan Malaysia dalam misi pemburuan emas pertama di Sukan Olimpik Tokyo.