Home / Lain - Lain / PANDELELA-MUN YEE RAIH PERAK DI SIRI TERJUN DUNIA FINA

PANDELELA-MUN YEE RAIH PERAK DI SIRI TERJUN DUNIA FINA

Selepas pencapaian gangsa jaguh trek Azizulhasni Awang dalam acara Keirin di Kejuaraan Dunia di Berlin satu lagi perkembangan memberansangkan sukan negara menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo Julai depan terlakar.

Kali ini menerusi penerjun sandaran Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee yang berjaya meraih pingat perak di Kejohanan Terjun Siri Dunia di Montreal Kanada menerusi acara 10 meter platform berirama wanita.

Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Montreal adalah pusingan pertama jelajah bagi musim 2020. Walaupun persiapan negara sedikit terganggu berikutan penularan wabak Covid-19 ia tidak menjejaskan fokus dua penerjun sandaran ke Olimpik itu.

Kedua-duanya memberikan aksi bertenaga untuk meraih pingat perak sekalipun tidak mampu menandingi kehebatan peserta tuan rumah yang berjaya meraih emas.

Pandelela dan Mun Yee menamatkan terjunan dengan meraih 297.66 mata untuk berada di tempat kedua manakala gangsa menjadi milik Russia.

Tanpa kehadiran penerjun China yang merupakan kuasa besar acara terjun dunia menjadikan saingan siri dunia kali ini nampak lebih seimbang.

Apa yang pasti kejayaan ini juga menaikkan lagi moral atlet negara untuk memecah kebuntuan pingat emas di Tokyo Julai nanti.