Home / Bola Sepak / Pahang pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia

Pahang pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia

Pahang layak ke suku akhir Piala Malaysia hasil kemenangan 1-0 ke atas Sabah menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh mengumpul 12 mata penuh dari empat perlawanan dan sukar untuk dicabar oleh pasukan lain dalam kumpulan C.

Sekalipun memulakan perlawanan dengan persembahan meyakinkan menerusi deretan serangan keatas kubu Sabah, tuan rumah terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk membolosi gawang pasukan pelawat.

Gol yang dicari-cari Tok Gajah menjelma hasil sentuhan berbisa Dickson Nwakame pada minit ke-57.

Biarpun Sabah berusaha untuk mencari gol penyamaan pertahanan kental Pahang memastikan pasukan itu mencatat kemenangan keempat berturut-turut dan mengesahkan tempat ke suku akhir.

Persaingan kini terarah kepada juara bertahan Perak selain Pulau Pinang dan Sabah sendiri untuk mengisi satu lagi slot suku akhir berbaki dua perlawanan.

Dalam saingan aksi kumpulan C, Pulau Pinang berjaya mengikat juara bertahan Perak selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Bandaraya.

Pulau Pinang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Norfaiz Johari pada minit ke-48.

Namun Perak kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-60 hasil tandukan pemain import Brazil Leandro dos Santos.

Sementara itu kemenangan yang diraih Felda United 3-1 keatas Melaka kembali menghangatkan persaingan kumpulan D dengan kesemua pasukan masih berpeluang untuk ke suku akhir.

Felda United bangki dari ketinggalan 0-1 untuk menewaskan Melaka 3-1 pada aksi kumpulan D. Kemenangan ini terus menghidupkan kembali impian Felda United untuk meraih tiket ke suku akhir.

Felda United terlebih dahulu dibolosi menerusi jaringan Luka Milunovic pada minit ke-37.Haidin Azman meledak gol penyamaan pada minit-minit terakhir babak pertama.

Aksi selepas rehat menyaksikan giliran Felda United kembali mendahului menerusi jaringan Danial Amier Norhisham pada minit ke-69.

Kubu Melaka sekali lagi bocor tiga minit berselang kali ini menerusi jaringan penalti Haidin Azman untuk keputusan penuh 3-1 memihak kepada Felda.