Home / Lain - Lain / PABM AKUR HUKUMAN IWF

PABM AKUR HUKUMAN IWF

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) akur dengan hukuman gantung setahun yang dikenakan Persekutuan Angkat Barat Antarabangsa (IWF) yang turut melarang atlet negara menyertai Sukan Olimpik Tokyo susulan kes doping.

Presiden PABM Datuk Ayob Rahmat memaklumkan badan induk itu menerima hukuman itu daripada IWF dan akan berbincang untuk membuat rayuan atau sebaliknya.

IWF menjalani sesi pendengaran dan siasatan yang dijalankan panel jawatankuasa bebas dilantik badan induk itu menerusi Skype pada 6 Mac lalu.

PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021. Semua atlet angkat barat negara tidak boleh menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF selama lima bulan sehingga 5 September 2020. Selain itu semua atlet angkat berat Malaysia juga tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik Tokyo.

Disamping itu juga Datuk Ayub menjelaskan hukuman yang dikenakan IWF tidak menjejaskan kejohanan tempatan yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini dan tahun depan termasuk kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia 2020.

Namun ia bergantung kepada situasi Covid-19 serta arahan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa.

PABM dan semua badan gabungan bersetuju untuk meletakan negeri bertanggungjawab sekiranya berlaku lagi kes doping di masa akan datang.

Dalam pada itu atlet angkat berat negara Muhammad Aznil Bidin dan Azroy Hazal Wafie Izhar terkilan mendengar berita penggantungan itu.

Aznil pada ketika ini sedang berusaha keras mengumpul mata untuk melepasi kelayakan ke Olimpik Tokyo dan kini berita itu meranapkan impiannya untuk beraksi di temasya Olimpik.

Aznil pemenang pingat emas Komanwel 2018 kini menduduki ranking ke-28 dunia dalam kategori 61 kg. Kejayaan beliau meraih satu pingat perak dan dua gangsa kategori yang sama dalam kejohanan solidariti antarabangsa di Uzbekistan Februari lalu menambah lagi keyakinan Aznil untuk melepasi kelayakan Olimpik.

Pada 2018 PABM pernah menggantung atlet mereka dari menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama setahun selepas hampir 7 atlet mereka gagal ujian doping.