Home / Bola Sepak / P.Maniam persiapkan strategi kelayakan AFC B16 2020

P.Maniam persiapkan strategi kelayakan AFC B16 2020

Selepas berjaya membawa pulang Piala AFF B15 bulan lalu, skuad muda negara kini sedang sibuk membuat persiapan bagi menghadapi pusingan kelayakan B16 AFC 2020 dari 18-22 September di Vientiane Laos.

Pengendalinya P.Maniam lebih mengambil berat aspek penyesuaian dengan merombak sesi latihan berikutan terdapat beberapa perlawanan skuad negara akan berlangsung seawal jam 3 petang.

P.Manian memanggil seramai 30 pemain menyertai kem latihan dengan 23 pemain yang menjulang kejuaraan AFF B15 di Chonburi Thailand dikekalkan.

Malaysia berada dalam kumpulan J dijadualkan bertemu Kemboja pada 18 September diikuti dengan tuan rumah Laos pada 20 September dan Jepun pada 22 September dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Laos.

Bagaimanapun waktu sebenar perlawanan belum diketahui namun P.Manian mahu pemain didedahkan dengan keadaan cuaca sebenar sekiranya skuad negara terpaksa beraksi dengan lebih awal.

Untuk itu latihan seawal jam 3.30 petang hingga 5.00 petang perlu diikuti pemain ketika ini. Rehat sejam diberikan sebelum mereka menyambung latihan bermula pukul 6.00 petang sehingga 7.30 petang.

Beberapa perlawanan persahabatan juga diatur dimulakan dengan menentang pasukan B15 Mongolia pada 6 September dan 9 September di Stadium Mini Shah Alam sebelum berangkat ke Laos pada 13 September.