Home / Golf / #NOMURACUP2017 : Kuala Lumpur tuan rumah edisi ke 28

#NOMURACUP2017 : Kuala Lumpur tuan rumah edisi ke 28

YB Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, Presiden MGA bergambar bersama Keisuke Muratsu, Pengerusi Konfederasi Golf Asia Pasifik semasa upacara pembukaan Kejohanan Golf Nomura Cup di Kelab Golf Sungai Long. Gambar oleh Mike Casper/MGA

KUALA LUMPUR, 8 November 2017 : Deruman gendang oleh seramai 30 ahli kumpulan Tarian Singa, menghangatkan upacara pembukaan Nomura Cup edisi ke-28 yang diadakan di Kelab Golf Sungai Long, Kuala Lumpur petang tadi. Lebih menarik sebagai simbolik kepada nasib yang baik dan kejayaan yang besar, pasukan Tarian Singa turut melancarkan trofi Nomura Cup 2017 dan menyambut kehadiran pasukan-pasukan yang bertanding. 

Selepas hampir 24 tahun, Nomura Cup kembali berlangsung di Malaysia, apabila Persatuan Golf Malaysia (MGA) berjaya dalam bidaannya di Kejohanan Golf Amatur Asian 2015 yang lalu.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), YB Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dalam ucapannya berkata, beliau berterima kasih kepada Konfederasi Golf Asia Pasifik yang memberi peluang kepada Malaysia sebagai tuan rumah dan Kelab Golf Sungai Long yang bersedia menjadi gelanggang kejohanan. Optimis dengan persiapan dan persediaan yang dilakukan, Tan Sri Anwar yakin kejohanan kali ini merupakan medan terbaik buat para pemain Malaysia.
‘Kami percaya kejohanan ini merupakan kejohanan yang terpenting di rantau Asia dan merupakan sebagai platform terbaik buat pemain muda dan pemain amatur Malaysia untuk bersaing dengan rakan sebaya mereka dari rantau Asia.’

‘ Sudah pasti saya yakin pemain Malaysia mampu memberi saingan dan faktor tuan rumah akan memberi kelebihan kepada mereka untuk mendapat tempat terbaik dalam kejohanan kali ini.’ ujar YB Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA)

Sementara itu Pengerusi Konfederasi Golf Asia Pasifik, Keisuke Muratsu dalam ucapannya berkata beliau amat gembira Nomura Cup kembali diadakan di Malaysia.

‘Kami merasa amat bertuah berada di Malaysia dan gembira Nomura Cup kembali diadakan di negara yang indah ini untuk kali ke 3’, ujar Keisuke Muratsu.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada tahun 1993 dan kali pertama ialah pada tahu 1977 dimana Kelab Golf Diraja Selangor menjadi gelanggang kejohanan.

Dianggap sebagai salah satu kejohanan golf amatur berpasukan paling elit di rantau Asia, Nomura Cup sering dijadikan kayu pengukur untuk para pemain golf amatur sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke era professional.

Edisi sebelumnya, Nomura Cup diadakan di Yas Link, Abu Dhabi dan pasukan Jepun muncul sebagai juara manakala Malaysia di tempat ke 10. Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan Nomura Cup ialah di tempat ketiga pada tahun 1977 dan Malaysia pada waktu itu diwakili oleh Shabuddin Yusof, Tan Yee Khan dan Eshak Bluah.

Sebanyak 23 negara bertanding dalam kejohanan kali ini yang akan diadakan mulai 9 hingga 12 November 2017 di Kelab Golf Sungai Long.

 

Pusingan pertama kejohanan bermula jam 7.30am dan sebarang maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh menghubungi Encik Bambang ditalian 6017-2583826.