Home / Bola Sepak / NIKE LANCAR JERSI BAHARU PASUKAN KEBANGSAAN MALAYSIA 2020-2022

NIKE LANCAR JERSI BAHARU PASUKAN KEBANGSAAN MALAYSIA 2020-2022

Kredit : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Selepas setahun tanpa sebarang aksi, Harimau Malaya kini bersedia untuk kembali bangkit dengan pelancaran jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia edisi 2020-2022 daripada Nike yang menyaksikan buat pertama kalinya sejak 2007, jersi utama atau jersi ‘home’ tampil dengan reka bentuk berkolar.

Majlis pelancarannya, hari ini berlangsung secara maya menerusi video pengenalan jersi berkenaan yang disiarkan serentak di kesemua platform media sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) iaitu di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube https://youtu.be/ENOTYXDj3l0.

Ia menampilkan 10 pemain kebangsaan terdiri daripada ketua pasukan – Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Syahmi Safari, La’Vere Corbin-Ong, Brendan Gan, Nor Azam Abdul Azih, Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad, Shahrel Fikri Md Fauzi dan penjaga gol, Farizal Marlias serta penampilan istimewa ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Pelancaran jersi baharu kali ini pada awalnya dirancang untuk diadakan secara fizikal, namun terpaksa dilancarkan secara maya memandangkan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Oktober 2020 hingga 6 Disember 2020 ekoran penularan pandemik COVID-19.

Untuk itu, sebagai simbolik pelancaran jersi baharu ini, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menjadi individu pertama yang menerima kedua-dua jersi ‘home’ dan jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022 daripada Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kredit : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Sejak Nike menaja jersi pasukan kebangsaan Malaysia, kesemua tujuh reka bentuk jersi ‘home’ sebelum ini iaitu pada 2007, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 dan 2018 adalah tidak berkolar, sekali gus kelainan baharu yang bakal diperagakan skuad Harimau Malaya bagi jersi edisi 2020-2022 ini.

Jersi kedua atau jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022 turut menampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya tiada warna biru, putih atau merah seperti kebiasaan sebelum ini.

Menurut Datuk Haji Hamidin, jersi ‘home’ yang baharu ini biarpun ringkas, namun tampak lebih kemas dengan reka bentuk berkolar manakala pemilihan warna baharu bagi jersi ‘away’ pula akan memastikan semangat Harimau Malaya kekal membara.

“Pasukan Harimau Malaya pasti akan lebih garang selepas ini kerana bukan saja jersi ‘home’, malah jersi ‘away’ juga menampilkan warna tradisi kita iaitu hitam dan kuning. Ini bermakna, dalam kesemua aksi pasukan kebangsaan nanti, semangat dan aura Harimau Malaya akan sentiasa bersama para pemain dan penyokong.

“Saya yakin apabila para pemain memakainya nanti, mereka akan mendapat semangat baharu untuk tampil dengan aksi yang lebih bertenaga di atas padang, seterusnya meraih lebih banyak kemenangan dan kejayaan buat pasukan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Terima kasih juga kepada Nike yang masih terus bersama FAM dan Harimau Malaya sepanjang tempoh lebih 13 tahun ini (sejak 2007),” kata Datuk Haji Hamidin.

Jersi ‘home’ Malaysia 2020-2022 terus memelihara warisan dan evolusi pasukan bola sepak kebangsaan dengan mengekalkan warna tradisi kuning sambil digabungkan dengan reka bentuk moden supaya aspek-aspek moden ini dapat ditonjolkan.

Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia, Ernest Rodrigues berkata: “Dengan mengekalkan logo FAM di bahagian sebelah kiri dada, warna kuning ikonik jersi ‘home’ ini dipadankan dengan kehadiran warna hitam pada tiga bahagian iaitu kolar, lengan dan garis corak terkini Nike di bahagian sisi bagi menampakkan lagi kekemasannya.”

Sementara jersi ‘away’ Malaysia 2020-2022 pula tampil dengan warna hitam sebagai warna utamanya, diselangi lima jalur berwarna kuning di bahagian depan serta kolar bulat dan hujung lengannya juga berwarna kuning.

Reka bentuk berjalur pada jersi ‘away’ ini diinspirasikan daripada Jalur Gemilang (bendera Malaysia), namun kelainan yang ditampilkan ialah ia hanya menggabungkan warna hitam dan kuning, tanpa kehadiran warna biru, putih atau merah.

“Jersi ‘away’ ini mencerminkan semangat muda dan budaya ekspresif pasukan kebangsaan sambil pada masa yang sama untuk memberikan penghormatan kepada Harimau Malaya yang kaya dengan tradisinya,” tambah Ernest.

Tampil sebagai salah seorang pemain terawal yang berpeluang menyarung jersi baharu ini, ketua pasukan Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak pula berkata: “Warna kuning dan hitam yang terdapat pada kedua-dua jersi ‘home’ dan ‘away’ kali ini sudah tentu akan menyerlahkan lagi imej Harimau Malaya setiap kali kami turun beraksi nanti.

“Sebagai pemain, menjadi tugas kami untuk mencorakkan lagi jersi ini supaya ia akan nampak lebih garang dan menyerlah menerusi persembahan yang lebih bertenaga dan berkualiti tinggi bagi menghasilkan kejayaan buat Harimau Malaya.

“Besar harapan saya, jersi baharu ini akan menjadi saksi Malaysia layak ke Piala Asia 2023, menjuarai Piala Suzuki AFF 2020, meraih pingat emas Sukan SEA 2021 dan juga lain-lain kejayaan di kejohanan antarabangsa peringkat bawah umur serta bola sepak wanita, futsal dan bola sepak pantai sepanjang tempoh dua tahun ini.”

Tanpa sebarang aksi sepanjang tahun 2020 ini, skuad Harimau Malaya yang kini di kedudukan 153 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking FIFA akan kembali meneruskan saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh sebelum ini pada Mac 2021 serta saingan Piala Suzuki AFF 2020 yang ditunda ke April dan Mei 2021.

Jersi baharu pasukan kebangsaan Malaysia 2020-2022 ini sudah boleh didapati mulai hari ini, 4 Disember 2020 di outlet Nike terpilih serta secara atas talian di www.nike.com/my dan www.al-ikhsan.com manakala penjualan secara fizikal di 24 outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan semua outlet Football Republic di seluruh negara pula akan bermula pada 11 Disember 2020 dengan jersi ‘home’ dan ‘away’ ini, masing-masing dijual pada harga RM299.