Home / Golf / NATASHA, LAWRY JUARA KEJOHANAN GOLF AMATUR TERBUKA MALAYSIA KALI KE-117

NATASHA, LAWRY JUARA KEJOHANAN GOLF AMATUR TERBUKA MALAYSIA KALI KE-117

Lawry Flynn dari Australia dan Natasha Andrea Oon dari Malaysia bersama trofi kategori masing-masing selepas memenangi Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia. Gambar ©MGA

KUCHING, 23 Jun 2019: Pemain negara, Natasha Andrea Oon, 19 tahun, muncul juara Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia 2019 selepas mencatat 276 pukulan, 12 di bawah par keseluruhan di Kelab Golf Sarawak di sini hari ini. 

Natasha Andrea Oon ©MGA

Natasha yang memulakan pusingan keempat dengan kelebihan 8 pukulan di hadapan seorang lagi pemain negara, Putri Alya Abdul Ghani, bermain 75 pukulan, 3 di atas par untuk menjulang kejuaraan kategori wanita yang kembali dipertandingkan selepas 8 tahun.

Putri Alya yang bermain 1 di atas par terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala seorang lagi pemain kebangsaan, Winnie Ng beraksi cemerlang dengan 68 pukulan pada hari terakhir untuk melonjak ke kedudukan ketiga, sekaligus menyaksikan Malaysia menyapu bersih 3 kedudukan terbaik di kejohanan ini.

Natasha yang ditemui selepas kejayaan tersebut berkata, kemenangan di Terbuka Malaysia ini lebih manis berbanding kejuaraan yang di menanginya di Kejohanan Gold Rush di Long Beach, Amerika Syarikat Februari lalu. 

“Saya berbangga dengan kemenangan ini. Meskipun tidak dapat mengulangi catatan 64 pukulan seperti semalam, saya berpuas hati dengan aksi sepanjang minggu ini” katanya.

Natasha juga beharap dengan kemenangan ini dapat membuka peluang untuknya diserapkan ke dalam skuad kebangsaan ke Sukan SEA Manila hujung tahun nanti.

Edisi terakhir kategori wanita yang berlagsung pada 2011 juga dimenangi oleh pemain negara, Aretha Pan.

Lawry Flynn dari Australia ©MGA

Sementara itu, dalam kategori lelaki, Lawry Flynn dari Australia mengekalkan aksi bertenaga di hari terakhir untuk muncul juara edisi ke 117 Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia. 

Pemain yang berusia 21 tahun itu mencatat 69 pukulan, 3 di bawah untuk mengumpul 279 pukulan keseluruhan, mengatasi saingan hebat pemain Singapura, Low Wee Jin dengan kelebihan 1 pukulan.

“ Ianya sangat mendebarkan, walaupun saya membenam 5 birdie tetapi 2 bogey termasuk di lubang 18 membuatkan saya cemas seketika. Bagaimanapun saya gembira dengan kemenangan sulung saya di Malaysia” kata Lawry Flynn.

Tempat ketiga dimenangi pemain Indonesia, Narajie Ramadhan yang bermain 70 pukulan, untuk 4 di bawah par keseluruhan.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Kelab Golf Sarawak di sini.