Home / Golf / NATASHA HAMPIRI KEJUARAAN AMATUR TERBUKA MALAYSIA

NATASHA HAMPIRI KEJUARAAN AMATUR TERBUKA MALAYSIA

Aksi Natasha Andrea Oon di pusingan ketiga Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia di Kelab Golf Sarawak. Gambar ©MGA

KUCHING, 22 Jun 2019: Pemain wanita kebangsaan, Natasha Andrea Oon mencerahkan peluang untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke 117 yang berlangsung di sini selepas mempamer aksi bertenaga dengan melakukan 64 pukulan, 8 dibawah par pada pusingan ketiga di Kelab Golf Sarawak.

Catatan tersebut membolehkan pemain yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu mengumpul 201 pukulan, 15 dibawah par untuk selesa mendahului kejohanan dengan kelebihan 8 pukulan di hadapan seorang lagi pemain negara, Putri Alyaa Abdul Ghani yang bermain par. Natasha yang juga merupakan penuntut di Universiti San Jose , Amerika Syarikat  melakukan 9 birdie pada pusingan ketiga, termasuk 6 birdie di 9 lubang terakhir. 

Putri Alyaa Ghanny ©MGA

“Saya bermain dengan baik pada hari ini, dan catatan 15 di bawah par merupakan catatan terbaik peribadi saya untuk 3 pusingan. ‘Putting’ saya sangat bagus pada hari ini dan saya harap ianya akan dapat dikekalkan untuk pusingan akhir” kata pemain yang berusia 19 tahun itu. Dua lagi pemain Malaysia, Audrey Tan dan Liyanna Durisic pula berkongsi di tangga ketiga dengan catatan par.

Lawry Flynn dari Australi ©MGA

Dalam kategori lelaki, pemain Australia, Lawry Flynn bangkit dari aksi hambar pada pusingan kedua, untuk melakukan 65 pukulan, 7 di bawah par pada pusingan ketiga sekaligus melonjak ke kedudukan pendahulu dengan 6 dibawah par keseluruhan. Dia berkongsi kedudukan bersama pemain Singapura, Low Wee Jin yang turut beraksi baik dengan 69 pukulan untuk mara ke pusingan terakhir esok dengan kelebihan 2 pululan ke atas pemain di kedudukan ketiga, Luis Miguel Castro dari Filipina. Flynn yang ditemui selepas menamatkan saingan 54 lubang itu berkata  sangat gembira dengan permainannya hari ini meski pun mencatat 1 bogey pada lubang ketiga. “ Saya tidak sabar untuk bermain bersama Low Wee Jin esok, dan berharap dapat mengekalkan kedudukan ini sekaligus bergelar juara” katanya.

Sementara itu pendahulu di dua pusingan terdahulu, Malcolm Ting dan Jake William Hughes masing-masing jatuh ke kedudukan ke 4 dan 7. Malcolm melakukan 74 pukulan, 2 di atas par manakala Jake William sekadar bermain 76 pukulan untuk catatan 216 pukulan keseluruhan.

Dalam perkembangan  berbeza, Tan Sri Mohamad Anwar Mohd Nor mengekalkan kedudukannya selaku Presiden Persatuan Golf Malaysia selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agong tahunan badan induk golf negara yang turut berlangsung di Kelab Golf Sarawak  hari ini.