Home / Bola Sepak / NASIB BERBEZA DOMINIC DAN ZAFUAN DI LIGA THAILAND

NASIB BERBEZA DOMINIC DAN ZAFUAN DI LIGA THAILAND

Pemain skuad B23 kebangsaan Dominic Tan yang mewakili Police Tero FC di Liga Thailand jelas lega apabila diberi jaminan kekal dalam pasukan cuma terpaksa akur menerima potongan separuh gaji.

Dominic Tan mengikat kontrak bersama Police Tero FC selama 2 tahun Disember lalu selepas dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2019.

Pasukan naib juara divisyen dua yang dinaiktaraf ke saingan utama itu juga tetap memerlukan khidmat berusia 23 tahun itu sebelum berunding melakukan potongan gaji.

Ketika ini pemain itu menjalani latihan selama 4 kali seminggu dan sesi dilakukan secara individu.

Situasi yang dihadapi pemain profesional dan kelab negara Thai juga terjejas teruk khasnya aspek kewangan akibat penangguhan liga akibat penularan Covid-19.

Dominic yang beraksi di posisi pertahanan telah beraksi sebanyak 3 dari 4 perlawanan sebagai pemain gantian menyaksikan pasukan yang berpengkalan di Bangkok itu merekod 3 kemenangan dan menghuni tangga kelima daripada 16 pasukan.

Berlainan pun dengan Zafuan Azeman yang mengumumkan kontraknya bersama kelab divisyen tiga Thailand Ang Thong FC tamat gara-gara masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya ia perkara yang tidak dapat dielakkan Ang Thong FC dengan hampir separuh kontrak pemain di kelab itu terpaksa ditamatkan.

Ang Thong FC merupakan kelab kecil dan bergantung sepenuhnya kepada penaja untuk meneruskan kelangsungan kewangan kelab.

Ini pastinya berbeza dengan pasukan-pasukan divisyen utama yang memiliki dana besar dalam meneruskan pengurusan kelab terutamanya dari segi pembayaran gaji pemain.