Home / Lain - Lain / MSN & PKBM LANCARKAN PROGRAM PENCARIAN BAKAT PELUMBA WANITA

MSN & PKBM LANCARKAN PROGRAM PENCARIAN BAKAT PELUMBA WANITA

Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan memulakan pencarian bakat pelumba wanita di seluruh negara bermula bulan ini.

Kumpulan sasaran adalah dalam kalangan berusia 13 hingga 15 tahun bagi mengisi pasukan pelapis kebangsaan dengan matlamat utama beraksi di pentas remaja Asia dan dunia tahun 2024.

Pencarian bakat program pelapis basikal wanita menjadi inisiatif terbaru Majlis Sukan Negara dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

Ini berikutan ketandusan pelumba remaja dan elit di peringkat kebangsaan sekaligus kurang wakil di pentas antarabangsa.

Justeru siri jelajah keseluruh negara diatur bermula zon tengah, selatan, timur dan borneo bermula 24 Oktober ini bagi mengumpul bakat-bakat yang berminat dan berpotensi.

Proses pertama adalah menyenaraipendek seramai 100 orang pelumba muda untuk dibawa ke ujian spesifik pada 20 dan 21 November di Valedrom Nilai bersama ujian selanjutnya.

Kemuncak pemilihan seramai 15 orang dipilih membarisi pasukan pelapis yang berpusat di Bukit Jalil untuk mengikuti program khusus dan sistematik.

Ianya bakal dikendalikan Sood Hussin selaku jurulatih program pelapis kebangsaan bersama bekas pelumba kebangsaan Nor Fatehah Mustapa yang dilantik sebagai jurulatih pasukan.

Matlamat utama program adalah di pentas remaja Asia dan dunia pada tahun 2024 nanti sebelum mereka naik ke peringkat elit.