Home / Lain - Lain / MSN ‘agresif’ terhadap dua jaguh memanah negara

MSN ‘agresif’ terhadap dua jaguh memanah negara

Majlis Sukan Negara akan mengambil pendekatan agresif terhadap dua jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad dan S.Suresh menjelang Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Ianya lebih fokus dan memberi tumpuan terhadap lokasi latihan dan kolaborasi bersama negara terpilih bagi membantu kedua-duanya meneruskan prestasi cemerlang mereka pada kejohanan dunia di Belanda baru-baru ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pihaknya akan berbincang lebih lanjut bersama jurulatih Lee Jae Hyung dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menerusi setiausahanya kehormatnya, Datuk Abd. Hamid Hassan bagi membincangkan tentang input terbaik bagi jaguh dari Terengganu itu.

Khairul membidik perak menerusi acara recurve individu lelaki dalam Kejohanan Dunia di Belanda selepas tewas menerusi ‘shoot-off’ di tangan pemanah Amerika Syarikat, Brady Ellison di pentas akhir, sekali gus menghadiahkan pingat sulung untuk Malaysia pada pertandingan tersebut.

Kejayaan itu hadir seminggu selepas atlet para, Suresh, 25, meraih gelaran dunia di Belanda, juga dalam acara recurve individu lelaki.