Home / Lain - Lain / #MotoGP – Hafizh Syahrin ke MotoGP

#MotoGP – Hafizh Syahrin ke MotoGP

Aksi Hafizh Syahrin ketika sesi ujian Motogp di Buriram, Thailand minggu lalu. Gambar oleh Aekaluck Kongsangsri

 

Oleh : Ismadi Manap 

KUALA LUMPUR : Pasukan Monster Yamaha Tech3 mencetus sejarah baru sukan pemotoran negara apabila memilih pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah untuk berlumba bersama pasukannya seterusnya mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama menyertai MotoGP untuk musim penuh tahun ini.

Hafizh akan bergandingan bersama Johann Zarco untuk pasukan Monster Yamaha Tech3 dalam pengumuman yang dilakukan oleh Pengurus Pasukan Tech3, Herve Poncharal selepas selesai seisi ujian motogp selama 3 hari di Buriram, Thailand minggu lalu.

Ketika ditemui wartawan, Hafizh ternyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraan nya namun berkata, beliau terpaksa bekerja lebih keras dalam usaha untuk menyakinkan pasukannya bagi musim ini.

Aksi Hafizh Syahrin ketika sesi ujian Motogp di Buriram, Thailand minggu lalu. Gambar oleh Aekaluck Kongsangsri

“Saya mensasarkan berada di kelompok 20 pelumba terbaik dalam perlumbaan pertama dan berusaha memperbaiki prestasi saya dalam setiap perlumbaan. Sudah pasti sekiranya mendapat mata, ianya amat penting buat saya dan saya akan pasti berusaha ke arah itu” ujar Hafizh ketika diajukan soalan mengenai perancangannya.

Sambil itu Herve Poncharal dalam satu kenyataan berkata Hafizh telah menunjukkan prestasi baik, dan pihaknya yakin dengan potensi Hafizh sebagai pelumba MotoGP.

“Kami sangat berbangga untuk memberi peluang ini kepada Hafizh. Walaupun pada mulanya kami perlu meyakinkan pihak penaja, namun Hafizh berjaya memenuhi misi di Buriram dengan menunjukkan kebolehannya,” kata Poncharal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razalah berkata penyertaan Hafizh pada MotoGP tahun ini adalah satu pencapaian bersejarah dalam industri sukan permotoran negara.