
Pemain Malaysia meraikan kejayaan mereka merangkul Piala PGM-IGT Championship 2016. Pix by Arep KULAL / PGM TOUR
KOTA SERIEMAS, 5 November 2016 : Pemain golf negara, Ben Leong mengekalkan momentum kemenangan apabila muncul juara kategori individu seterusnya membantu pasukan Malaysia muncul juara dalam Kejohanan Golf PGM-IGT Championship 2016, pertemuan diantara pasukan Malaysia menentang pasukan Indonesia, di Kota Seriemas Golf & Country Club hari ini.

Ben Leong muncul juara kategori individu. © Arep KULAL / PGM TOUR
Ben Leong, 30 tahun, yang baru muncul juara di Kejohanan Golf PGM Orna Melaka dua minggu yang lalu melakukan 206 pukulan keseluruhan, 10 dibawah par untuk mengenepikan saingan dari pemain Indonesia, Daniel J. Masrin dan pemain Malaysia, Danny Chia yang melakukan 207 pukulan keseluruhan, 9 dibawah par untuk berkongsi di tempat kedua.
“Ia merupakan satu perlawanan yang agak sengit apabila saya ketinggalan 3 pukulan pada sembilan lubang pertama namun saya berjaya mengawal emosi dan mental untuk mengekalkan rentak pukulan saya dan tidak melakukan sebarang kesilapan. Ternyata ianya berhasil dan saya amat gembira memenangi kejohanan ini seterusnya mengekalkan rentak kemenangan saya” ujar Ben Leong.
Kejohanan yang berlangsung selama 3 hari dilihat bukan sahaja bertujuan untuk memberi saingan kepada kedua-dua pemain dari Malaysia dan Indonesia tetapi juga bertujuan merapatkan hubungan setiakawan sesama atlit dari kedua-dua negara. Mengamalkan format ‘strokeplay’ untuk kategori individu dan pemilihan 20 pemain terbaik setiap pasukan untuk jumlah mata berpasukan, kejohanan yang julung kali di adakan ini mendapat perhatian dari Pengerusi Jelajah Asia dan juga Presiden Indonesia Golf Tour (IGT) En. Jimmy Masrin yang mengumumkan bahawa Indonesia bersedia untuk menganjurkan kejohanan yang sama pada tahun hadapan di Indonesia.

Kelab Golf Kota Seriemas © Arep KULAL / PGM TOUR
“Cetusan idea kejohanan ini oleh YBhg Tun Ahmad Sarji amat baik dan wajar diteruskan. Saya melihat para pemain bukan sahaja bersaing tetapi rata-rata mereka dapat mengeratkan lagi hubungan atlit sesama mereka. Ini satu tanda yang amat positif dan sudah pasti kami di IGT akan berusaha untuk menganjurkan nya di Indonesia pada tahun hadapan”- ujar En. Jimmy Masrin
Kejohanan PGM-IGT Championship 2016 juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya diadakan di lapangan golf yang baru dibina oleh PNB Development Sdn Bhd (PNBD), Kota Seriemas Golf & Country Club, lapangan golf yang direka oleh Nigel B Douglas seluas 161ekar. Kejohanan kali ini juga menampilkan Zurich Insurance Malaysia sebagai penaja rasmi.
Keputusan
206 Ben Leong (Mas) 66-68-72

Aksi Ben Leong dalam kejohanan PGM – IGT Championship 2016 © Arep KULAL / PGM TOUR
207 Daniel J. Masrin (Ina) 70-67-70, Danny Chia (Mas) 68-68-71
208 -8 Kemarol Baharin (Mas) 67-69-72
211 -5 George Gandranata (Ina) 73-70-68, R. Nachimuthu (Mas) 71-68-72
213 -3 Khor Kheng Hwai (Mas) 73-73-67, Wilson Choo (Mas) 72-73-68, M. Amli Mohiyadeen (Mas) 74-69-70, Nicholas Fung (Mas) 70-72-71
214 -2 Sukree Othman (Mas) 73-69-72
215 -1 Sarmilih (Ina) 70-72-73
216 E Kenneth De Silva (Mas) 71-72-73
217 +1 Shaifubari Muda (Mas) 72-74-71, Hendry Nasim (Ina) 70-74-73, Airil Rizman (Mas) 71 71 75, Adrian Halimi (Ina) 72-69-6
219 +3 Irfan Yusoff (Mas) 74-76-69, Jordan Irawan (Ina) 72-72-75, Joshua Andrew Wirawan (Ina) 71-73-75