Home / Lain - Lain / MOM masih belum menetapkan sasaran pingat Sukan SEA Filipina 2019

MOM masih belum menetapkan sasaran pingat Sukan SEA Filipina 2019

Menjelang temasya Sukan SEA Filipina 2019 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih belum menetapkan sasaran pingat keseluruhan kontinjen negara.

Menurut Presidennya Datuk Seri Norza Zakaria walaupun jumlah atlet yang akan dibawa ke temasya itu agak besar, tidak semestinya sasaran pingat perlu mengikut jumlah itu berikutan beberapa faktor.

Seramai 1063 atlet negara akan mengambil bahagian dalam 52 acara daripada 56 yang dipertandingkan.

MOM akan memutuskan sasaran keseluruhan pingat selepas meneliti setiap butiran dari prestasi lalu atlet-atlet yang disenaraikan.

Ini berikutan kontinjen pada kali ini meliputi kombinasi atlet-atlet yang layak dari merit, atlet-atlet yang memerlukan platform serta pendedahan di peringkat antarabangsa seperti sukan-sukan yang baru mendapat perhatian seperti sukan luncur ombak, hoki dalam air, lumba bot tradisional dan sukan tarian.

Sasaran kontinjen negara akan diumumkan pada 21 November ini oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHILSGOC) telah menunda tarikh tutup penyertaan atlet bertanding pada 17 Oktober ini dari tarikh asal 7 Oktober lalu untuk memberi masa kepada negara-negara yang turut serta untuk melaraskan senarai atlet yang akan dibawa.