Home / Lain - Lain / MOM LANCARKAN DANA KHAS BANTU PERSATUAN-PERSATUAN SUKAN

MOM LANCARKAN DANA KHAS BANTU PERSATUAN-PERSATUAN SUKAN

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil dengan inisiatif tersendiri dengan menubuhkan dana khas bagi membantu sistem kewangan persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

MOM menyedari pandemik ini menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan yang turut menjejaskan industri sukan yang tersepit dengan beban kewangan yang semakin meningkat.

Sebagai permulaan MOM memperuntukkan RM300,000.00 bagi menjalankan dana terbabit bagi membantu sistem kewangan pentadbiran persatuan-persatuan sukan kebangsaan yang terjejas susulan pembatalan beberapa kejohanan yang dianjurkan mereka sejak pandemik Covid-19 diumumkan 18 Mac lalu.

Ia terbuka kepada semua persatuan sukan di bawah MOM dengan sesi permohonan dan prosedur pembayaran akan dimaklumkan kelak.

Tambahan lagi MOM menerusi lembaga pengarahnya bersetuju untuk menurunkan sebanyak 50% bagi sewa ruang pejabat di Wisma OCM untuk April dan Mei.