Home / Lain - Lain / MKN BERI KELONGGARAN KEPADA PENGUSAHA PREMIS SUKAN KOMERSIAL

MKN BERI KELONGGARAN KEPADA PENGUSAHA PREMIS SUKAN KOMERSIAL

Majlis Keselamatan Negara (MKN) kembali membenarkan aktiviti sukan di gimnasium, padang bola sepak komersial, gelanggang futsal dan dewan badminton di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

Kebenaran bersyarat itu diberikan selepas kerajaan menerima permohonan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan keluhan pemilik pusat sukan yang sukar meneruskan kelangsungan operasi sekiranya larangan terhadap aktiviti sukan kekal dikuatkuasakan.

Kebenaran aktiviti sukan bersyarat itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian PKPB.

MKN hanya membenarkan semua aktiviti sukan di premis berkaitan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat iaitu dengan hanya membenarkan aktiviti latihan di premis berkenaan dengan penjarakkan tanpa kontak.

Hanya 10 individu dibenarkan berada di lokasi pada suatu-suatu masa. Sebarang acara berbentuk pertandingan masih belum dibenarkan dan KBS akan mengeluarkan SOP lebih lengkap berhubung kebenaran ini kelak.

Susulan daripada kebenaran semula MKN terhadap aktiviti sukan di pusat sukan komersial di kawasan PKPB KBS menerusi satu kenyataan media mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan mendengar keluhan pengusaha pusat sukan komersial.

KBS berharap pembukaan semula fasiliti sukan komersial itu akan mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung semua pengusaha akibat perlaksanaan PKPB.

Disamping itu KBS mahu semua pengusaha sentiasa memastikan setiap SOP yang dipersetujui perlu dipatuhi dan tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

Bagi memastikan pematuhan SOP tidak diambil mudah Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan membuat pemantauan dari masa ke semasa.

KBS juga akan memantau situasi semasa dengan panduan MKN dan KKM agar matlamat PKPB bagi pencegahan Covid-19 berjaya.