Home / Bola Sepak / MISI LAYAK KE PIALA DUNIA B20 2021 & KEJUARAAN BOLA SEPAK ASIA (AFC) 2020 : BRAD MALONEY PERLUKAN 6 HINGGA 8 BULAN BAGI MEMPERSIAPKAN PASUKAN

MISI LAYAK KE PIALA DUNIA B20 2021 & KEJUARAAN BOLA SEPAK ASIA (AFC) 2020 : BRAD MALONEY PERLUKAN 6 HINGGA 8 BULAN BAGI MEMPERSIAPKAN PASUKAN

Ketua jurulatih pasukan bola sepak B19 tahun kebangsaan Brad Maloney memerlukan tempuh 6 hingga 8 bulan bagi menyediakan pasukan yang mantap untuk misi layak ke Piala Dunia B20 tahun 2021.

Sehubungan itu Maloney berharap pasukannya diberikan kebenaran untuk mengikuti kem latihan berpusat lebih awal menjelang kejuaraan B19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan Oktober depan.

“Sudah tentu lebih cepat lebih baik untuk pasukan kita. Bagi saya jika pemain itu berlatih bersama kelab masing-masing ianya satu bonus buat kita. Cuma susah untuk mereka mengadakan sesi latihan di kelab dengan keadaan sekarang. Saya harap kami dapat peluang yang sama seperti atlet ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan memulakan sesi latihan dalam masa terdekat”, ujar Brad Maloney.

Dengan sasaran layak secara merit beraksi di Piala Dunia Maloney berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan kelonggaran berlatih buat pasukannya.

Maloney menjelaskan beberapa negara lain yang juga pencabar pasukan negara sudah mengambil inisiatif awal mengadakan latihan secara tertutup seperti Vietnam, Korea Selatan dan Australia.