Home / Bola Sepak / Misi getir buat Harimau Malaya di Hanoi

Misi getir buat Harimau Malaya di Hanoi

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Hanoi bagi meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Tugas cukup getir menanti berdepan Vietnam yang memiliki corak permainan pantas beraksi pula di hadapan penyokong sendiri di Stadium Min Dinh.

Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe tetap lega apabila kesemua pemain bebas dari sebarang kecederaan dan bersedia menyerap tekanan lawan yang gah selaku pasukan nombor satu Asia Tenggara itu.

Selain waspada dengan corak pantas lawan, Cheng Hoe juga mahu pemain bijak menyesuaikan diri dengan tekanan bermain di arena lawan.

Kunjungan terakhir di Hanoi pada Disember tahun lalu pada aksi final Piala AFF menyaksikan Malaysia tewas tipis 1-0.

Selepas dua perlawanan Malaysia menghuni tempat ketiga kumpulan G dengan 3 mata hasil kemenangan 3-2 keatas Indonesia dan tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Manakala Vietnam di tangga keempat baru beraksi satu perlawanan tetapi keupayaan mengikat Thailand tanpa jaringan di Bangkok menceritakan kekuatan tersendiri yang dimiliki Vietnam.

Dalam pada itu pemain tengah Harimau Malaya Brendan Gan optimis dia dan rakan sepasukan mampu menggalas tugas yang diamanahkan sekaligus mencipta kejutan di bumi Hanoi.

Tonggak pasukan Perak itu mengakui berdepan Vietnam membawa misi mendapatkan tiga mata penuh dari Hanoi adalah bukan satu tugas mudah.

Namun dia percaya dengan kemampuan Harimau Malaya yang memiliki pemain berkualiti untuk mengekang asakan Vietnam.

Skuad negara berlepas ke Hanoi tanpa tiga tonggak utama iaitu Nor Azam Azih, J.Partiban dan Shahriel Fikri Mohd Fauzi kerana mengalami kecederaan. Ketiadaan mereka diisi dengan beberapa pemain baru diantaranya Aidil Zafuan Abd Razak, Abdul Halim Saari dan juga Mohd Azizan Nordin.