Home / Hoki / MHC SASARKAN EMAS SUKAN ASIA 2026

MHC SASARKAN EMAS SUKAN ASIA 2026

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan jawatan baharu pengarah projek Sukan Asia 2026 dengan tugasan memburu pingat emas Sukan Asia 2026 di Nagoya Jepun dan mengetuai program pembangunan hoki negara (NHDP) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Perancangan MHC untuk membentuk projek Sukan Asia 2026 menyaksikan skuad wanita kini terdiri daripadan gabungan pemain remaja dan juga senior yang diletakkan dalam satu pasukan saja sementara pasukan lelaki masih kekal dengan dua pasukan.

Roelant Olthmans membimbing skuad senior sambil dibantu Wallace Tan yang akan mengendali skuad remaja dibawah projek khas yang bakal dipantau rapi pengarah yang akan dilantik MHC.

Paling penting adalah program pembangunan hoki negara (NHDP) yang bakal menjadi platform bagi melahirkan bakat-bakat baharu yang akan menjadi nadi bagi skuad khas ini.

Pengarah projek khas ini dijangka menyertai MHC selewat-lewatnya 1 September.

Ia berikutan peranan yang amat penting ketika MHC akan memanggil empat calon jurulatih skuad wanita terdiri daripada dua jurulatih tempatan dan dua jurulatih luar yang akan membentangkan perancangan mereka pada pemilihan akhir ini.

Skuad wanita remaja dan senior kini dibimbing jurulatih Lailin Abu Hasan sebelum jurulatih baharu dijangka akan mengetuai skuad projek khas Sukan Asia 2026 bermula 1 September nanti.

Dalam pada itu MHC turut mengumumkan perlantikan Arul Selvaraj selaku penolong jurulatih mengetuai dua lagi penolong jurulatih sedia ada Mohd Amin Rahim dan Nasihin Nubli Ibrahim.

Kriteria perlantikan Arul adalah berdasarkan prestasi cemerlangnya membimbing pasukan UniKL meraih kejuaraan treble pada kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) Februari lalu selain mendapat restu Roelant Olthmans selaku ketua jurulatih kebangsaan.

Cuma yang menjadi persoalan ketika ini kedudukan Olthmans sendiri memandangkan kontraknya bersama skuad kebangsaan akan tamat pada 31 Disember ini.

Olthmans mula membimbing skuad kebangsaan bermula 1 Oktober 2018 menggantikan Steven Van Husen selepas kegagalan Malaysia meraih pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta Indonesia.

Beliau berjaya membawa Malaysia meraih tempat ketiga trofi juara-juara Asia di Muscat Oman selain membimbing skuad negara bergelar naib juara pada kejohanan Hoki FIH serie akhir di Kuala Lumpur tahun lalu.

Namun kedudukannya mula goyah selepas Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik 2020 berikutan dua kekalahan kepada Great Britain pada pusingan kelayakan yang berlangsung di London.