Home / Hoki / MHC SAMBUT POSITIF PENAMBAHBAIKAN FIH

MHC SAMBUT POSITIF PENAMBAHBAIKAN FIH

Pengumuman badan induk hoki antarabangsa FIH berhubung format baharu kelayakan Piala Dunia 2022/2023 disambut baik Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Sebelum ini banyak cabang yang perlu dilalui semasa proses kelayakan dan ini membolehkan fokus diberikan kearah kejohanan Piala Asia dengan dua slot ditawarkan selain tambahan slot ketiga sebagai tuan rumah iaitu India untuk saingan lelaki.

Berdasarkan format lama juara setiap benua selain tuan rumah layak ke saingan utama dengan baki 10 slot lagi menjadi rebutan menerusi saingan kelayakan lain.

Namun disebabkan kebanyakan kejohanan terpaksa ditunda dan dibatalkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia menyebabkan penambahbaikkan dilakukan FIH dengan menambah slot kelayakan bagi setiap benua.

Menerusi perkongsian terbaharu FIH 11 kuota termasuk tuan rumah kini diperolehi menerusi kejohanan benua dengan hanya baki 5 slot ditentukan menerusi pusingan kelayakan.

Ini merupakan peningkatan 100% dengan Asia mendapat satu lagi slot tambahan bagi kategori lelaki dan wanita dengan 3 pasukan Asia akan beraksi di Piala Dunia 2023 bagi lelaki selepas India sudah pun dipilih selaku tuan rumah.

Malaysia telah merakam dua kelayakan berturut-turut sebelum ini pada edisi 2014 dan 2018. Kejayaan bergelar naib juara pada kejohanan Piala Asia di Dhaka Bangladesh bakal dijadikan penandaaras bagi kempen seterusnya pada 2021.

Setakat ini belum ada tarikh kejohanan Piala Asia namun hanya saingan hoki Cabaran Juara-Juara Asia (ACT) masih tersenarai dalam kalendar Persekutuan Hoki Asia (AHF) yang dijadualkan berlangsung November ini.