Home / Hoki / MHC anggap RM21 juta bagi tempoh 5 tahun berbaloi dengan pencapaian pasukan hoki kebangsaan

MHC anggap RM21 juta bagi tempoh 5 tahun berbaloi dengan pencapaian pasukan hoki kebangsaan

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetap menganggap peruntukan hampir RM21juta keatas skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan dalam tempoh 5 tahun sebagai satu perbelanjaan yang berbaloi.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal percaya kedua-dua pasukan kebangsaan telah memberikan persembahan terbaik buat negara sekalipun gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan pecahan peruntukan yang diberikan MHC dari tahun 2015 sehingga 2019 skuad hoki lelaki menerima peruntukan lebih tinggi berbanding skuad hoki wanita kebangsaan.

Skuad hoki lelaki meraih sebanyak RM15juta manakala skuad wanita meraih hampir RM6juta dalam misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

MHC merumuskan peruntukan keseluruhan yang dianggarkan RM21juta itu masih kecik jika dibandingkan dengan beberapa pasukan lain seperti Australia dan India yang dilapor membelanjakan tiga atau empat kali ganda lebih besar untuk persediaan ke temasya besar.

Bagi menjayakan misi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas ini, MHC telah mengadakan sesi bedah siasat untuk mengenalpasti kelemahan skuad hoki lelaki dan wanita negara.

16 panel dijemput antaranya wakil dari MHC, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan tidak ketinggalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun agak janggal dengan dua badan penguatkuasa, 12 pemain lelaki dan 6 pemain wanita kebangsaan tenang meluahkan perasaan dan mengutarakan idea masing-masing bagi meningkatkan lagi pasukan negara.

Rumusan awal sesi bedah siasat ini akan diumumkan esok namun laporan penuh akan didedahkan selewat-lewatnya bulan hadapan.