Home / Golf / MGA lancar GOGOLF – Golf untuk Semua !

MGA lancar GOGOLF – Golf untuk Semua !

Barisan Jawatankuasa MGA bergambar bersama wakil kelab-kelab golf selepas majlis perlancaran Program MGA GoGolf. ©MGA

KUALA LUMPUR, 28 September 2017 : Persatuan Golf Malaysia (MGA) melancarkan dengan rasminya Program MGA GoGolf di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) minggu lalu. Program kad golf yang mula dinaikturun pada 18 Mei 2017 melalui laman web www.Gogolf.my membawa konsep “Golf untuk Semua” membolehkan semua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda untuk bermain golf pada harga yang berpatutan seterusnya menepis tohmahan lama bahawa sukan golf hanya untuk golongan elit dan atasan.

Sebanyak 55 kelab golf di seluruh Malaysia telah turut serta dalam program MGA GoGolf yang memberi kelebihan kepada ahli GoGolf untuk menikmati kadar harga yang berpatutan dan bermain di kelab golf pilihan mereka pada bila-bila masa.

Bercakap kepada wartawan semasa majlis perlancaran Program MGA GoGolf, Pengerusi Program MGA GoGolf, Bryan Perera berkata, Program MGA GoGolf bukan sekadar kad yang memberi kelebihan kepada ahlinya untuk bermain golf pada harga yang lebih murah semata-mata tetapi lebih daripada itu.

“Kita di MGA berusaha untuk menjadikan Program MGA GoGolf ini satu kad program yang lebih baik, bukan sahaja peluang bermain di kelab-kelab golf ternama tetapi pelbagai insentif dan kelebihan lain antaranya pengurusan sistem handikap untuk ahli, perlindungan insuran dari syarikat insuran Zurich dan kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN)”.

Pengerusi Program MGA GoGolf, Bryan Perera menyerahkan cek kepada wakil Kelab Golf Seri Selangor, Hairul Zaini. ©MGA

“Kesemua insentif dan kelebihan ini akan dinikmati secara percuma oleh ahli Program MGA GoGolf bagi membolehkan mereka menikmati pengalaman baru sebagai pemain golf melalui Program MGA GoGolf”, jelas Bryan.

Mensasarkan keahlian seramai 2000 orang menjelang tahun 2018, Bryan berharap ahli Program MGA GoGolf akan sentiasa melayari laman web GoGolf untuk mengetahui program-program dan insentif keahlian yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Dalam majlis yang sama, Persatuan Golf Malaysia (MGA) turut mengumumkan 4 kategori bagi menghargai kelab-kelab golf yang telah menyertai Program MGA GoGolf dan mempromosi keahlian Program MGA GoGolf.

Kelab Golf Seri Selangor merangkul 3 dari 4 kategori yang diadakan iaitu Finexus GoGolf Award (penyertaan ahli program teramai),   Zurich GoGolf Award (kelab yang menjadi pilhan ahli Program MGA GoGolf), MGA Gogolf Reseller Award,  manakala bagi anugerah MGA Gogolf Collateral Display Award dimenangi oleh Bukit Beruntong Golf Club