Home / Bola Sepak / Matias Conti Muncul Wira Pahang!

Matias Conti Muncul Wira Pahang!

 
Matias Conti muncul sebagai wira Tok Gajah

Matias Conti muncul sebagai wira Tok Gajah

Laporan oleh : Al Zaem
3 November 2013 , Shah Alam : Bukanlah hadiah perpisahan terbaik buat jurulatih Kelantan, Bojan Hodak apabila skuad bimbingannya itu tumbang kepada Pahang dalam perlawanan akhir Watson Piala Malaysia 2013 hasil jaringan penyerang import, Matias Conti dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.
 
Gol hasil tandukkan pada minit ke-58 oleh Matias Conti itu telah menamatkan penantian 21 tahun Pahang untuk menjulang Piala Malaysia dan memberikan kejayaan ketiga buat pasukan yang digelar Tok Gajah itu setelah melakukannya pada tahun 1983 dan 1992.
 
Walaupun hujan lebat turun sebelum dan ketika aksi babak pertama berlangsung, kedua-dua pasukan Pantai Timur ini telah beraksi baik dengan Pahang dilihat lebih menguasai tempo perlawanan. Gandingan Badhri Radzi, Shakir Shaari dan Zairo Anuar Zailani jelas gagal menghadirkan gerakan yang baik buat jentera serangan pasukan mereka.
 
Kegagalan jentera tengah Kelantan ini adalah hasil kerja keras bahagian tengah Pahang yang dikemudi Amirulhadi Zainal dan Hafiz Kamal serta keberkesanan benteng pertahanan yang dibarisi ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar, Razman Roslan, Shahrizan Salleh dan bintang import, Damion Stewert.
 
Pahang menggunakan sepenuhnya pemain sayap, R. Gopinathan dan R. Surendran untuk mengasak kubu lawan disamping Azamuddin Akil yang bergerak bebas di belakang Matias Conti serta telah menyukarkan benteng pertahanan Kelantan yang beraksi tanpa kehadiran Obinna Nwaneri yang digantung perlawanan.
 
Minit ke-27, percubaan jauh R. Surendren nyaris memberikan Pahang gol awal. Namun percubaannya itu sekadar singgah di palang gol yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat dan tindakan susulan Matias Conti selepas itu sedikit mengecewakan apabila tersasar dari gawang gol.
 
Beberapa minit sebelum itu, pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed hampir menghadiahkan sepakan penalti buat Kelantan apabila penyerang, Dickson Nwakame dijatuhkan oleh dua pertahanan Pahang, Razman dan Damion Stewert. Namun setelah berbincang bersama penjaga garisan, sepakan percuma diberikan kerana Dickson sebenarnya dijatuhkan di luar kotak penalti.
 
Bermula babak kedua menyaksikan jurulatih Pahang, Dollah Salleh melakukan perubahan taktikal dengan mengeluarkan Surendran dan membawa masuk Mohd Fauzi Roslan untuk bergandingan bersama Matias Conti di bahagian depan. Pahang kini menggunakan dua penyerang dengan Azamuddin Akil menggerakkan bahagian kanan sayap yang ditinggalkan Surendren.
 
Nyata perubahan ini berkesan apabila Azamuddin Akil kerap kali berjaya merobek benteng pertahanan lawan dari sebelah sayap kanan, antaranya gerakkannya bersama Amirulhadi pada minit ke-56 yang akhirnya terpaksa diselamatkan pertahanan, Azizi Matt Rose.
Dan selang dua minit kemudian, Matias Conti berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran kemas Azamuddin dari sebelah kiri gawang gol dan telah menewaskan Khairul Fahmi buat kali pertama. Ternyata percaturan Dollah Salleh menjadi.
 
Sepuluh minit menuju wisel penamat, Kelantan yang gemar melakukan ‘comeback’ di penghujung aksi perlawanan telah mengandakan asakan namun usaha itu digagalkan oleh kekebalan benteng pertahanan Pahang serta aksi baik yang dipamerkan penjaga gol muda mereka, Khairul Azhan.
 
Khairul Azhan sentiasa menggagalkan percubaan The Red Warrior antaranya asakkan terakhir oleh Norfarhan Muhammad di penghujung perlawanan yang berjaya ditepis keluar walaupun pertahanan sudah tertewas dengan umpanan daripada Indra Putra itu.
 
Misi kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar untuk menjulang Piala Malaysia sebelum bersara tercapai serta misi Pahang untuk mengulangi kejayaan tahun 1992 berjaya membuahkan hasil. Gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi tahun lalu, Kelantan masih boleh berbangga dengan Piala FA 2013 yang dimenangi mereka pada penghujung Jun yang lalu. 
Kelantan: Khairul Fahmi, Azizi Matt Rose, Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Nik Shahrul Azim, Zairo Anuar Zailani (Fakri Saarani), Shakir Shaari, Badhri Radzi (Mohd Faiz Subri), Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Dickson Nwakaeme
Pahang: Khairul Azhan, Jalaluddin Jaafar (Saifulnizam Miswan), Razman Roslan, Damion Stewart, Shahrizan Salleh, R. Surendran (Mohd Fauzi Roslan), Hafiz Kamal, Amirulhadi Zainal, R. Gopinathan (Mohd Faisol Hussain), Azamuddin Akil, Matias Conti

 

Leave a Reply