Home / Bola Sepak / MASUM cipta kejuaraan hatrik

MASUM cipta kejuaraan hatrik

Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) berjaya merangkul kejayaan hatrik dalam acara bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA 2019) selepas berjaya menewaskan Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) dengan keputusan 2-1 pada perlawanan akhir di Uniten Bangi.

Turun selaku juara bertahan MASUM bermula garang mengasak ke kubu pertahanan MSPM bagi memburu jaringan. Usaha yang direncanakan berhasil apabila pasukan pilihan itu berjaya membuka tirai jaringan menerusi Lukman Hakim pada minit ke-27.

Kedudukan kekal 1-0 tamat separuh masa pertama aksi selepas rehat menyaksikan aksi MSPM mula mengatur serangan berbahaya dan hasilnya Mohd Hazwan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-78.

Ketika ramai menjangkakan perlawanan akan berlangsung ke masa tambahan Zairul Aidil berjaya menjaringkan gol kedua MASUM dua minit sebelum tamat masa perlawanan sekaligus membantu pasukannya mengatasi MSPM 2-1.

Sebagai rekod ini kali ketiga MASUM menjuarai bola sepak SIPMA selepas 2013 dan 2017.