Home / Lain - Lain / Masih ada sinar buat atlit Olimpik !

Masih ada sinar buat atlit Olimpik !

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, masih berkeyakinan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos akan tetap dianjurkan walaupun tanpa kehadiran penonton.

Biarpun tiada keputusan konklusif sama ada Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengenainya, beliau yakin langkah-langkah akan diambil oleh tuan rumah bagi memastikan sukan terbesar ini dilangsungkan dan atlit Malaysia yang layak ke temasya itu perlu terus bersedia.

“Sukan Olimpik Tokyo akan bermula lebih kurang 163 hari lagi daripada tarikh hari ini. Apakah ia akan diteruskan? Apakah kita mampu mendapat pingat emas pertama untuk Malaysia?

“Semua ini masih lagi dalam ketidaktentuan kerana keadaan dan penganjuran Sukan Olimpik ini masih belum dapat diputuskan secara konklusif,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

“Jawatankuasa penganjur menyediakan buku panduan mengenai penganjuran yang antara lain menyentuh soal SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan kemungkinan Sukan Olimpik diadakan tanpa penonton sememangnya wujud,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos tahun lalu terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan sehingga kini masih belum reda.