Home / Golf / Malcolm, Jake, Putri dan Natasha kongsi pendahulu pusingan kedua Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia.

Malcolm, Jake, Putri dan Natasha kongsi pendahulu pusingan kedua Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia.

Malcolm Ting – Malaysia ©MGA

KUCHING, 21 JUN 2019 : Pemain Malaysia, Malcolm Ting mengekalkan rentak permainan cemerlang apabila mencatatkan 70 pukulan, dua di bawah par untuk kekal mendahului walaupun diberi saingan sengit oleh Jake William Hughes dari Australia yang mencatatkan 69 pukulan, 3 di bawah par di pusingan kedua Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke-117 di Kelab Golf Sarawak, Kuching. 

Memulakan saingan pusingan kedua dengan catatan 33pukulan, 3 dibawah par pada sembilan lubang pertama, Malcom ternyata hampir menamatkan pusingan tanpa ‘bogey’, namun tragedi di lubang 18 memaksa beliau akur dengan catatan 70pukulan,  4 dibawah par secara keseluruhan untuk kekal berada di tangga pendahulu. 

Walaupun kecewa dengan catatan ‘double bogey’ di lubang terakhir, Malcolm tetap berpuashati apabila berjaya menyerap segala tekanan, meskipun sedar  saingan yang dihadapi dari pemain lain. 

“Saya melakukan banyak pukulan yang baik dan amat berpuas hati dengan ‘putting’ saya pada hari ini. Walaupun kecewa dengan catatan ‘double bogey’ dilubang 18, saya mengambilnya sebagai satu pengajaran yang berharga untuk lebih bijak menyerap tekanan’ ujar Malcolm. 

Berkongsi sebagai pendahulu, Jake William Hughes dari Australia melakukan catatan 69pukulan, 3 di bawah par, berbanding catatan pusingan pertama yang sekadar  melakukan 71pukulan, 1 dibawah. Membenam 5 birdie, Jake seharusnya mencatatkan keputusan lebih baik jika tidak dihukum dengan catatan 2 ‘bogey’ di lubang ke sepuluh dan enam belas. 

Seramai 74 pemain lelaki berjaya melepasi ‘cutt’ yang ditetapkan pada 14 di atas par untuk beraksi di pusingan ketiga esok. 

Sementara itu dalam kategori wanita, Pemain Malaysia, Natasha Andrea Oon menggunakan segala pengalamannya untuk terus memberi saingan kepada pendahulu pusingan pertama rakan sepasukan dari Malaysia, Putri Alyaa Ghanny. Natasha berjaya melakukan 67pukulan, untuk jumlah keseluruhan 7 di bawah par, mendahului bersama Putri  Alyaa Ghanny yang melakukan 69 pukulan pada pusingan kedua hari ini.

Natasha Andrea Oon – Malaysia ©MGA

Natasha bermula garang dengan melakukan ‘birdie’ berturutan di lubang 1,2,3 dan 4, sebelum membenam  2 lagi ‘birdie’ dilubang ke 6 dan 10, namun catatan ‘bogey’ di lubang ke 18 menghalang Natasha untuk melakukan permainan sempurna di pusingan kedua. 

“Permulaan yang baik di empat lubang pertama memberi saya semangat dan keyakinan. Saya dapat membaca green dengan baik pada hari ini dan ‘putting’ yang sempurna membolehkan saya membenam 5 ‘birdie’, dan saya amat berpuashati”, ujar Natasha yang menuntut di San Jose State University, USA

Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia kali ke 117 berlangsung selama 4 hari, dari 20 Jun hingga 23 Jun 2019 di Kelab Golf Sarawak, dengan kategori lelaki bermain di lapangan Matang/Santubong, Par 72, 6423 meter manakala kategori wanita beraksi di lapangan Siol/Demak, Par 72, 5485meter. 

Kejohanan anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA), diuruskan oleh Persatuan Golf Sarawak dengan tajaan sepenuhnya dari kerajaan Negeri Sarawak. Kejohanan kali ini diadakan di bandar Kuching bersempena dengan Tahun Melawat Sarawak 2019.