Home / Bola Sepak / MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE (MFL) UMUM PENGANJURAN KEJOHANAN E-SUKAN TM EPIALA MALAYSIA EDISI KEDUA

MALAYSIAN FOOTBALL LEAGUE (MFL) UMUM PENGANJURAN KEJOHANAN E-SUKAN TM EPIALA MALAYSIA EDISI KEDUA

Malaysian Football League (MFL) mengambil inisiatif menghangatkan kembali arena bola sepak, kali ini menerusi penganjuran kejohanan sukan elektronik bola sepak, TM ePiala Malaysia edisi kedua selepas penganjuran kali pertama tahun lalu berjaya mencuri tumpuan ramai peminat-peminat e-sukan FIFA di seluruh negara.

Susulan saingan TM Piala Malaysia musim ini yang terpaksa dibatalkan ekoran gelombang kedua pandemik Covid-19 di Malaysia, MFL mengambil peluang untuk mengubati kekecewaan penyokong bola sepak tempatan dengan menganjurkan kejohanan e-sukan TM ePiala Malaysia secara atas talian ini di samping berharap ia mampu mengembalikan aura TM Piala Malaysia yang terjejas pada musim ini.

Selepas kejohanan e-sukan eMalaysian Football League (eMFL) yang telah berlangsung dengan jayanya pada Julai lalu, MFL terus mengorak langkah melebarkan sayapnya bertujuan untuk mewujudkan pertandingan permainan FIFA secara kompetitif yang terbaik di Malaysia menerusi TM ePiala Malaysia pula.

MFL percaya ramai peminat bola sepak tanah air masih terasa dengan pembatalan kejohanan tertua di Asia Tenggara itu pada musim ini, justeru saingan TM ePiala Malaysia menerusi kerjasama dengan Gamesbond ini diharap mampu menghadirkan semula kehangatan perlawanan bola sepak di alam maya pula dalam kalangan penyokong.

Edisi kali ini lebih menarik dengan format baharu iaitu pemain-pemain berstatus amatur di seluruh Malaysia berpeluang untuk menyertai kejohanan di pusingan kelayakan sebelum bersaing dengan lapan pemain profesional lain yang sudah menempa nama di kejohanan eMFL sebelum ini.

Seramai 256 pemain amatur akan bersaing dalam pusingan kelayakan menggunakan format kalah mati bagi merebut slot lapan terbaik untuk beraksi di pusingan akhir menjadikan 16 pemain secara keseluruhan bakal berentap untuk merebut gelaran juara TM ePiala Malaysia 2020.

Kesemua 16 pemain ini akan diberi penghormatan untuk mewakili 16 pasukan yang bermain di TM Piala Malaysia 2020 iaitu ; Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC, Perak, Selangor, UiTM FC, PJ City FC, Pahang, Melaka, Sabah, Felda United FC, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kuching FA, Kelantan, dan Kelantan United FC.

Format di pusingan akhir juga adalah kalah mati manakala undian perlawanan antara pemain akan turut berlangsung menggunakan format yang sama seperti TM Piala Malaysia.

Dengan sokongan daripada penerbit permainan video ini iaitu EA Sports untuk kejohanan ini, tidak mustahil pemain amatur dari seluruh Malaysia ini mampu mencetuskan kejutan dalam kalangan pemain profesional lain sekaligus berpeluang untuk membina karier yang lebih jauh dalam arena e-sukan ini.

Melihat populariti e-sukan di Malaysia, MFL ingin menjadikan ia sebagai platform kepada generasi baru untuk terus melahirkan minat terhadap sukan bola sepak tradisional di alam maya apatah lagi selepas mendapat sambutan yang memberangsangkan ketika penganjuran kali pertama ePiala Malaysia, tahun lalu.

Selain itu, kejohanan e-sukan TM ePiala Malaysia ini adalah hasil kerjasama strategik bersama Telekom Malaysia (TM) yang sentiasa memberi sokongan dalam usaha untuk terus mempromosikan sukan elektronik ini, kali ini dalam komuniti permainan FIFA selain turut mendapat sokongan daripada penaja lain yang turut sama terlibat iaitu Esports Kuala Lumpur Association (ESKL) dan Razer.

MFL sentiasa menghargai pihak TM selaku penaja utama Piala Malaysia dan Penyiar Rasmi Liga Malaysia yang tetap utuh berdiri menjadi tunjang kepada MFL dan sukan bola sepak khususnya dalam sama-sama mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Hadiah bernilai RM5,000 bakal menjadi rebutan untuk kejohanan yang bakal berlangsung pada 22 November 2020 bagi pusingan kelayakan dan pusingan akhir bakal berlangsung dari 1 hingga 4 Disember 2020.

Semua perlawanan akan disiarkan secara langsung di Facebook MFL bermula jam 7.45 malam pada hari perlawanan. Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir, ePiala Malaysia hanya akan dimainkan secara atas talian bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Semua peminat sukan elektronik yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut serta berminat untuk menyertai kejohanan ini boleh membuat pendaftaran di pautan https://bit.ly/ePM20Reg.

Penganjuran kali pertama ePiala Malaysia tahun lalu yang merekodkan tontonan melebihi 250,000 secara kesuluruhan sepanjang kejohanan menyaksikan pemain terbaik FIFA di Malaysia, Luqman Haziq Hajiman yang mewakili pasukan Terengganu FC berjaya meraih gelaran juara ePiala Malaysia 2019.