Home / Bola Sepak / Malaysia waspada ancaman Myanmar di bawah kendalian Velizar Popov

Malaysia waspada ancaman Myanmar di bawah kendalian Velizar Popov

Temasya Sukan SEA semakin dirasai terutamanya di bandar Manila dan tumpuan pastinya lebih terarah kepada persiapan skuad bola sepak B22 tahun yang akan mengharungi aksi pertama kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Memorial Rizal esok.

Berdasarkan pemerhatian awal skuad kendalian Ong Kim Swee mempunyai peluang mencatat kemenangan namum Myanmar yang kini dibimbing bekas jurulatih Kelantan Velizar Popov bakal memberi ancaman.

Sememangnya Popov tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak tempatan yang pernah membimbing Kelantan pada tahun 2016 jurulatih kelahiran Bulgaria itu amat mengenali pemain negara khususnya pemain dari pantai timur.

Popov ketika ditemui memaklumkan Myanmar sudah menjalani sesi latihan lebih dari sebulan. Pasukannya sempat menguji Thailand dan Vietnam sebelum temasya Sukan SEA kali ini.

Tiga pemain kelantan berada dalam senarai 20 pemain ke Sukan SEA kali ini dan Popov dikatakan arif dengan corak pemain Nik Akif Shahiran Nik Mat.

Sebagai rekod pertemuan terakhir pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee menentang skuad bimbingan Porpov adalah di peringkat kumpulan kejuaraan Piala AFF B22 tahun di Kemboja Februari lalu dimana Malaysia berjaya menewaskan Myanmar dengan jaringan 1-0 hasil gol Hadi Fayyad Abd Razak.

Pada saingan Sukan SEA kali ini Adam Norazlin dipilih sebagai ketua pasukan dan status kecederaan Syahmin Sapari masih dalam pemantauan.