Home / Bola Sepak / Malaysia tewaskan New Caledonia dalam aksi persahabatan pemanas badan

Malaysia tewaskan New Caledonia dalam aksi persahabatan pemanas badan

Pasukan futsal kebangsaan terus mempergiatkan persiapan seminggu sebelum menyertai kejuaraan AFF di Vietnam.

Turun menyertai aksi persahabatan semalam skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu merakamkan kemenangan 5-0 mengatasi New Caledonia.

Malaysia mengatur dua perlawanan ujian menentang New Caledonia di Kompleks Sukan Panasonic di Shah Alam sebagai persiapan menyertai kejuaraan AFF di Ho Chin Minh minggu depan.

Aksi pertama menyaksikan skuad negara membuat permulaan agresif dengan mendahului lawan 2-0 dalam tempoh tiga minit pertama bermula dengan jaringan Ahmad Haris Ahmad Nasir dan Mohd Ridzuan Bakri.

Ketua pasukan yang baharu Saiful Nizam Mohd Aini kemudian memastikan skuad negara menutup babak pertama dengan kedudukan semasa 3-0 menerusi gol minit ke-12.

New Caledonia yang menghuni ranking dunia lebih bawah tampak berbahaya menerusi serangan balas yang pantas namun dihampakan dengan penyudah tumpul selain dibantu dengan ketangkasan penjaga gol kebangsaan.

Walaupun mencipta deretan peluang menambah jaringan, Abu Hanifah Hassan memastikan skuad negara tetap merakam kemenangan selesa apabila menjaringkan gol minit ke-21 dan 39 untuk perlawanan berkesudahan 5-0.