Home / Lain - Lain / Malaysia kuasai kategori lelaki dan wanita Kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia

Malaysia kuasai kategori lelaki dan wanita Kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia

Maaysia meraih kejuaraan berganda pada saingan skuasy Terbuka Malaysia apabila Eng Eain Yow menampilkan persembahan bertenaga apabila mengetepikan saingan pemain Switzerland, Nichol Mueller.

Manakala pertemuan sesama sendiri dua pemain wanita kebangsaan pula menyaksikan Rachel Arnold berjaya merakam kejayaan buat dirinya selepas menundukkan juara bertahan Lee Wee Wern.

Pertemuan Eng Eain Yow menentang pemain pilihan kedua Nichol Mueller dinanti-nantikan oleh peminat skuasy tanahair. Eain Yow yang turun sebagai pilihan keempat bermula baik apabila menguasai set pertama 11-7.

Bagaimanapun Mueller bangkit memberikan cabaran di set berikutnya untuk menang 14-12. Set ketiga menyaksikan penguasaan disajikan Eain Yow dengan meraih mata demi mata untuk menang 11-9.

Eain Yow mengesahkan gelaran juara menjadi miliknya dengan melengkapkan kemenangan 11-5 sekaligus menamatkan penantian selama sembilan tahun selepas kali terakhir ia diungguli pemain negara menerusi Mohd Azlan Iskandar.

“Memang ia bermain bermain dalam fikiran saya selepas membacanya dalam sosial media mengatakan kali terakhir pemain Malaysia memenanginya adalah pada tahun 2010, ia menjadi sedikit tekanan kepada saya untuk memastikan kemenangan, tetapi segalanya berjalan dengan lancar saya bermain dengan baik untuk menang dan membawa kembali kejuaraan kembali ke Malaysia”, ujar Eain Yow.

Sementara itu pertemuan sesama sendiri dua pemain negara Low Wee Wern dan Rachel Arnold dalam saingan kategori wanita turut berlangsung sengit menerusi permainan lima set.

Rachel terlebih dahulu mendahului set pertama menerusi kemenangan 11-7 agak tidak bernasib baik pada dua set berikutnya apabila tewa 11-13 pada set kedua. Rachel tambah tertekan apabila Wee Wern turut menguasai set ketiga dengan kemenangan 12-10.

Kembali fokus pada set keempat, Rachel lega mengheret permainan hingga set kelima selepas menang 11-8. Dengan Wee Wern mula terganggu kecederaan di bahagian kaki, Rachel memanfaatkan kelebihan yang dimiliki untuk menang 11-5 sekaligus bergelar juara yang juga kejayaan terbesar dalam kariernya.

“Saya rasa kemenangan ini akan membantu menaikkan ranking saya. Sudah agak lama saya kekal di tempat sama beberapa bulan ini. Jadi memang berharap kemenangan ini akan membantu saya”, ujar Rachel.