Home / Bola Sepak / Malaysia Juara, Maniam bangga !

Malaysia Juara, Maniam bangga !

Skuad bawah 15tahun Malaysia. Gambar ©FAM

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Peluang membimbing skuad bawah 15 (B-15) negara adalah detik paling membanggakan buat P. Maniam selepas membawa Malaysia merangkul Kejuaraan AFF B-15 di Chonburi, Thailand semalam.

Anak-anak buah Maniam bangkit daripada ketinggalan sebelum menumpaskan tuan rumah, Thailand 2-1.

“Kami berbangga dapat melatih skuad bawah 15 tahun ini kerana mereka amat komited dan memberikan yang terbaik dalam perlawanan.

“Kita dapat lihat dalam separuh masa pertama kami tidak bermain baik kerana angin tetapi di separuh masa kedua kami bermain dengan hebat. 

“Kami berjaya menang 2-1 , ia perkara yang hebat. Barisan kejurulatihan kami telah melakukan tugas dengan sangat baik, itu antara sebab kenapa kami berjaya,” kata Maniam dalam video yang disiarkan di Twitter ASEAN Football.

Dalam perlawanan itu, Thailand terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi Theekawin Chansri.

Bagaimanapun, anak-anak buah Maniam bangkit dengan dua gol pada babak kedua menerusi Muhammad Izrin Ibrahim dan Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin.

Kata Maniam lagi, apa yang lebih menggembirakannya adalah melihat ramai ibubapa pemain turut hadir diChonburi memberi sokongan buat pasukan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin turun hadir ke Chonburi menaikkan semangat skuad muda negara.