Home / Lain - Lain / Malaysia bida tuan rumah Piala Dunia Gimnastik Estetik 2020

Malaysia bida tuan rumah Piala Dunia Gimnastik Estetik 2020

Malaysia memiliki peluang cerah bagi menganjur kejohanan Piala Dunia kumpulan Gimnastik Estetik pada tahun 2020.

Ia selepas beberapa negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan menyatakan sokongan kepada Malaysia bagi menganjurkan kejohanan tersebut.

Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA) berhasrat untuk membida hak tuan rumah Piala Dunia Gimastik Estetik 2020 bagi memecah tradisi penganjurannya di Eropah, kata Timbalan Presidennya, Datuk Radha Krishnan Nair.

Jelasnya, Malaysia mempunyai kemudahan lengkap yang boleh ditawarkan sebagai venue kejohanan itu antaranya Arena Axiata, Bukit Jalil dan Stadium Malawati, Shah Alam malah sukan gimnastik estetik lebih mudah dikendalikan kerana kurang menggunakan peralatan.

Gimnastik estetik agak berbeza dengan gimnastik artistik atau berirama namun merupakan satu bentuk sukan yang menyokong kesinambungan karier gimnas yang telah bersara dan berusia namun mengurangkan penggunaan peralatan serta dijalankan secara kerjasama berpasukan.

Skuad negara juga pernah mengukir kejayaan hebat ketika diundang menyertai Kejohanan Dunia anjuran Persekutuan Antarabangsa Gimnastik Kumpulan Estetik (IFAGG) di Budapest, tahun lalu dengan meraih sebutir gangsa.