Home / Golf / Malaysia berjaya pertahankan Piala Causeway 2019

Malaysia berjaya pertahankan Piala Causeway 2019

Singapura: 10 September 2019, Pasukan Media Malaysia berjaya mempertahankan Piala Causeway 2019 setelah mengikat Singapura 14 sama sehingga tamat 3 pusingan di Kelab Golf Sentosa di sini.

Malaysia yang memulakan pusingan ketiga acara individu dengan kelebihan 8-6 hasil kemenangan dalam acara foursome dan fourballs semalam hanya memerlukan 6 mata hari ini untuk mengekalkan Piala Causeway di bumi Malaysia. 

Bagaimanapun permulaan goyah buat Pasukan Media Malaysia apabila 3 pemain utama, Mohd Suhaimi Daud (NST) , Mohd Aminuddin Azman (Media Prima) dan  Mahathir Mohd Sidi (Media Prima) tewas mengejut kepada lawan masing masing. Pun begitu, Malaysia kembali mendahului dengan 11-8 apabila berjaya mencuri 3 mata penting menerusi kemenangan mudah Bayu Adhi Cahyono (Al Jazeera) , Andrew Ng (Golf Malaysia) dan  Roy Chandra ( Fairway Mag).

Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal menerima
Piala Causeway dari Ketua Pasukan Media Singapura, Darryl Wee.

Perlawanan semakin getir menuju ke penghujung dan pasukan Singapura berjaya menyamakan kedudukan 11 sama selepas pemain senior mereka, Tim Pinnegar berjaya mengatasi Ahmad Fadali Baharudin ( Pristine Works) serta Thomas Leow mudah menewaskan Brian Alexis (Fairway Mag). Pasukan Media Malaysia yang diketuai oleh Arep Kulal yang memerlukan 3 mata , menarik nafas lega seketika apabila Ismadi A. Manap (RTM) dan Imran Mohd Nor (Utusan) menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan lawan masing-masing. Zaini Salihin (Media Prima) akhirnya memberikan mata paling berharga untuk kem Malaysia apabila menewaskan pemain berpengalaman Singapura, Edward di lubang terakhir untuk mata ke 14 Malaysia. 

Singapura bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 14 sama apabila perlawanan terakhir antara Alyson dan Rodney Chan (Golf Malaysia) yang berlarutan hingga ke lubang 18 menyaksikan pemain wanita Singapura itu menang untuk kedudukan akhir 14 sama.

Meskipun kedudukan seri, Pasukan Media Malaysia yang tampil selaku juara bertahan hasil kemenangan di Kelab Golf Glenmarie tahun lalu berjaya membawa pulang Piala Causeway menyeberangi tambak Johor. 

Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada tahun 2020 dan kejohanan dijangka akan berlangsung di Ipoh, Perak.