Home / Lain - Lain / Malaysia bakal menghantar penyertaan teramai ke Sukan SEA Filipina 2019

Malaysia bakal menghantar penyertaan teramai ke Sukan SEA Filipina 2019

Menepati jangkaan kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina 2019 kali ini bakal membariskan penyertaan teramai membabitkan 1137 orang atlet dan pegawai mengatasi bilangan penampilan sebelumnya.

Manakala bagi sasaran kutipan pingat atlet negara berpotensi mengatasi 68 kilauan emas yang dicatat semasa edisi ke-24 sewaktu Sukan SEA 2007 di Korat Thailand yang sekian lama menjadi penandaaras pencapaian Malaysia di luar Kuala Lumpur.

Angka sasaran berkenaan antara intipati utama yang dibincangkan semasa bengkel penetapan sasaran pingat Sukan SEA 2019 baru-baru ini.

Perbincangan mendalam berlangsung selama dua hari membabitkan 140 wakil dari 52 jenis sukan yang bakal mengambil bahagian di Filipina nanti.

Pengiraan berkisar pembandingan acara yang disertai kali ini dan juga semasa yang dipertandingkan di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Kontinjen negara menyandarkan sasaran pingat kepada 76 acara daripada 145 yang dimenangi di tempat sendiri sebelum ini memandangkan ia dikekalkan tuan rumah.

Manakala 141 acara lagi tidak disenaraikan Filipina yang menggantikannya dengan sebanyak 267 acara baru.

Pengumuman kontinjen negara beserta sasaran pingat dijadualkan pada 21 November ini serentak dengan penghimpunan atlet di Bangi.